MINISTRE DE L’ADMINISTRATION TERRITORIALE, DE LA DÉCENTRALISATION ET DES COLLECTIVITÉS LOCALES

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abd Ghani berkata, rancangan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mengurangkan pengeluarannya pada Januari 2017 tidak akan memberi kesan ketara kepada hasil kerajaan.

Bercakap kepada pemberita hari ini, beliau berkata, kesan pengurangan pengeluaran akan diimbangi dengan kenaikan harga minyak.

“Sekarang Petronas mengeluarkan hampir 500,000 tong. Potongan tersebut di bawah lima peratus.

“Walaupun dipotong, kita lihat harga minyak telah meningkat. Mungkin kita tidak berapa nampak impaknya,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-20 laluan Rapid KL LRT Ampang di sini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz serta bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Dr Elias Omar.

Pada Rabu, syarikat minyak nasional itu menyatakan akan mengurangkan sehingga 20,000 tong sehari (bpd) minyak mentah daripada pengeluaran purata negara bermula Januari ini.

Petronas berkata, pelarasan secara sukarela itu merupakan respons kepada  persetujuan yang dicapai di Vienna, Austria, pada 10 Dis 2016 antara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) dan pengeluar bukan OPEC untuk mengurangkan pengeluaran.

– Bernama

,