MESYUARAT BIRO POLITIK PKR, ‘PERTEMPURAN’ DIJANGKA MELETUS

Biro politik PKR akan mengadakan mesyuarat mingguannya di ibu pejabat parti itu. Bagaimanapun mesyuarat jam 3 petang itu dijangka panas dengan perbincangan sama ada mahu meneruskan rundingan dengan PAS atau tidak.

Mesyuarat tersebut disahkan oleh kumpulan pro-PAS dan anti-PAS kepada Malaysiakini.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempengerusikan mesyuarat majlis presiden gabungan itu malam ini, memberitahu akan mendapatkan penjelasan tentang hal ini.

Bagaimanapun, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dijangka tidak akan melakukan lebih daripada memberikan kata-kata nasihat untuk perkara berkaitan urusan dalaman PKR.

Pertempuran sebenar akan terjadi esok hari apabila pihak yang setuju rundingan dengan PAS dijangka akan menyerang naib presiden PKR Rafizi Ramli.

Kumpulan ini memang telah retak hubungannya dengan Rafizi, malah marah dengan MP Pandan itu kerana menyukarkan keadaan dengan menuntut diadakan kongres khas untuk mengundi sama ada PKR perlu terus berunding dengan PAS.

Esei Rafizi lawan FB Latheefa

Setelah Rafizi mengeluarkan esei beliau sepanjang 2000 patah perkataan yang menentang rundingan berterusan dengan PAS, ahli majlis tertinggi PKR Latheefa Koya melemparkan kemarahan beliau terhadapnya.

Rafizi telah menamakan mereka yang bersetuju dengan rundingan PAS dan mengambil pendekatan pragmatik.

“Sila lihat apa yang dibuat oleh barah ini sekarang. Dia sedang memaksa parti pecah dua. Dia tak hadir mesyuarat. Tetapi dia berani hanya bagi kata dua melalui media. Ini namanya tindakan bacul,” kata beliau dalam posting Facebook merujuk kepada Rafizi.

Beliau juga membayangkan Rafizi sebagai agen Umno.

Rafizi sememangnya sudah agak lama tidak hadir mesyuarat biro politik PKR disebabkan tidak bersetuju dengan sesetengah pemimpin termasuklah Latheefa.

Tidak jelas jika Rafizi akan memutuskan untuk muncul dalam mesyuarat besok.

Rafizi tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan maklum balas beliau semasa penulisan berita ini dibuat.

Tuntuan mendisiplinkan Rafizi

Bagaimanapun, dengan atau tanpa kehadiran Rafizi, kumpulan pro rundingan berhasrat untuk menuntut pertanggungjawabannya.

“Saya tidak setuju dengan apa yang dilakukan Rafizi untuk pengetahuan umum dan ia seharusnya dibataskan sebagai urusan dalaman parti.

“Walaupun beliau seorang naib presiden, beliau lemah dalam hal disiplin. Beliau tidak boleh bekerja dalam satu pasukan.

“Dia fikir dia hero dan mahu menjadi hero,” kata sumber yang bersetuju berunding dengan PAS dan akan hadir dalam mesyuarat besok.

Sumber berkata mesyuarat juga akan membincangkan tuntutan akar umbi parti untuk mengadakan kongres khas.

Namun, satu lagi sumber berasingan, yang mahu rundingan dengan PAS ditamatkan dan akan hadir ke mesyuarat besok berkata kumpulan anti rundingan bersedia untuk membentangkan pendapat mereka.

Minggu lalu, anggota parlimen Selayang William Leong meletakkan jawatan daripada biro politik PKR sebagai bantahan manakala akar umbi PKR Kelantan enggan menuruti pemimpin mereka yang dilihat sangat rapat dengan PAS.

– M’kini

.