MENYERANG AHLI PARLIMEN BUKAN LAGI KERJA SUKAR JIKA HANYA RM100 DENDA YANG MENANTI

Lapan orang dari Pasir Salak, termasuk seorang daripadanya adalah anak Tajuddin Abdul Rahman, Timbalan Menteri Pertanian dan Ahli Parlimen Pasir Salak sendiri, yang melakukan serangan ganas terhadap Khalid Samad dan pihak keselamatan Parlimen, akhirnya didakwa di mahkamah semalam.
Walaupun dalam rakaman video yang tersebar luas jelas memaparkan aksi mereka itu kelihatan ganas dan seperti mahu merusuh, apatah lagi dilakukan di dalam kawasan Parlimen, kesemua mereka hanya didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 jika didapati bersalah.
Sebelum itu, dalam jawapan bertulis di Parlimen, Kementerian Dalam Negeri pernah memaklumkan bahawa mereka yang terbabit sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam hal ini, pendakwaan tersebut jelas memalukan kedudukan serta martabat Ahli Parlimen sebagai kelompok yang berperanan menggubal undang-undang di Dewan Rakyat.
Tidak kira sama ada yang diserang itu Ahli Parlimen pembangkang atau kerajaan atau yang menyerang merupakan penyokong serta anak kepada pemimpin yang kuat menyokong dan mengampu Najib Razak, pendakwaan terhadap lapan orang itu adalah duluan yang buruk dan mengancam kedudukan Ahli-Ahli Parlimen di masa depan.
Ia memberi gambaran bahawa di lain-lain masa, sesiapa saja boleh menyerang atau mengupah orang lain untuk menyerang mana-mana Ahli Parlimen di kawasan Parlimen atas sebab-sebab tidak puas hati berhubung perdebatan di Dewan Rakyat.
Dengan denda  hanya di bawah RM100, sesiapa saja boleh mengupah lebih daripada 10 orang, bila-bila masa atau berulang kali untuk melakukan serangan  kepada Ahli-Ahli Parlimen.
Sebab itu, keputusan Khalid Samad sebagai Ahli Parlimen Shah Alam untuk menulis surat kepada  Peguam Negara bagi melihat kembali seksyen yang dikenakan serta meminta Speakar Parlimen mengambil alih kes tersebut, adalah sesuatu yang wajar dan logik.
Khalid, dalam hal ini, tidak boleh dikira telah bertindak untuk kepentingan dirinya semata-mata, tetapi juga untuk melindungi keseluruhan Ahli Parlimen dan menjaga kemuliaan Parlimen itu sendiri sebagai institusi penting dalam pentadbiran negara.
Penyokong atau anak-beranak Ahli Parlimen seharusnya bersikap matang dan tidak kebudak-budakan apabila melihat pemimpin atau ayah mereka diserang dengan kata-kata oleh musuh berlainan parti. Ia adalah perkara normal dalam kehidupan sebagai pemimpin politik.
Jika itu pun sukar untuk diterima, lebih baiklah mereka  “merengek”  meminta Ahli Parlimen Pasir Salak agar bersara dan duduk diam-diam di rumah saja.
Hukuman berat, setidak-tidaknya penjara adalah paling wajar dikenakan kepada mereka sebagai pengajaran dan peringatan kepada orang lain di masa depan.
ShahbudinHusin