MENUNGGU CABARAN GAGASAN SEJAHTERA

SEJARAH pilihan raya umum di Malaysia sejak edisi yang pertama pada 1959 adalah pertembungan antara dua pihak, antara Perikatan yang kemudian menjelma sebagai Barisan Nasional dan gabungan pembangkang.

Beberapa kali dalam sejarah, muncul blok ketiga namun selalunya tidak mendatangkan apa-apa impak terhadap keputusan dan pertembungan BN dan pembangkang.

Tetapi di pesisir pantai berbatu di pinggir Kuala Nerus hujung minggu ini, buat kali pertama akan lahir satu entiti yang dilihat mampu sekurang-kurangnya memberi kesan besar kepada status quo sejak awal Merdeka itu.

Himpunan Fastaqim 2.0 yang bakal menuju kemuncak malam ini akan menamatkan tempoh PAS bersendirian apabila ia menonjolkan diri sebagai nakhoda blok ketiga.

Penyelaras Gagasan Sejahtera Kamaruzaman Mohamad berkata Gagasan Sejahtera yang akan dimeterai malam nanti bukan sahaja dianggotai ahli politik, tapi seluruh badan dan pertubuhan masyarakat yang turut berkongsi ideal, aspirasi dan bergerak bersama parti Islam itu.

“Dengan ramainya NGO bersama kami, kita jangkakan momentum baharu  yang besar yang boleh kita berikan kepada rakyat dalam PRU14,” katanya kepada wartawan semalam.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dijangka mengumumkan “line-up” Gagasan Sejahtera yang kini disertai oleh parti Ikatan dan Berjasa. Malah parti pelbagai kaum, Parti Cinta Malaysia dikhabarkan bakal turut bersama.

Semalam, lebih 100 NGO Islam dan Melayu memberi baiat — ikrar taat setia — kepada Abdul Hadi dalam majlis dialog dan pertemuan khas.

Walaupun ada pihak yang pasti akan mempertikaikan parti dan NGO itu bukanlah pertubuhan besar, ramai sebenarnya masih kurang memberi perhatian terhadap aset terbesar parti itu.

Pengerusi Himpunan Nasrudin Hasan semalam menyebut “gelombang kebangkitan Islam” sebagai seruan kepada masyarakat Melayu negara ini.

Barangkali tiada siapa yang lebih yakin tentang keupayaan PAS memerintah selain kader PAS akar umbi.

Keluarga besar PAS

PAS ada kelebihan besar, yang tidak ada pada parti-parti lain di negara ini (kecuali barangkali Umno). Kelebihan itu ialah generasi pelapisnya yang lahir dan membesar dalam sistem tarbiyah parti Islam itu.

Lihat sahaja mobilisasi yang berjaya mereka lakukan dalam setiap himpunan raksaksa yang mereka anjurkan. Mobilisasi inilah yang paling dirindui bukan sahaja oleh Pakatan Harapan (PH) tetapi juga masyarakat sivil lain.

“PAS ada tadika yang bernama PASTI, ada sekolah dan guru untuk pelajar, ada usrah untuk yang sudah bekerja,” kata Roslan Hadi, ahli PAS dari Perak.

“Jika ada yang lahir pada tahun 1980-an dalam keluarga PAS, dia kini mungkin telah menjadi kepimpinan atau ahli Dewan Pemuda PAS,” tambah beliau.

Fastaqim 2.0 PAS di pantai Tok Jembal di Kuala Terengganu adalah bukti kekuatan PAS dan akar umbinya tidak boleh dipandang enteng. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 September, 2017.
Fastaqim 2.0 PAS di pantai Tok Jembal di Kuala Terengganu adalah bukti kekuatan PAS dan akar umbinya tidak boleh dipandang enteng. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 September, 2017.

Suasana kekeluargaan

Pagi ini, pertandingan pakaian beragam kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun meriah dengan keletah dan gelak tawa, amat berbeza dengan nada berapi mahupun imej Islam keras yang digembar-gembur oleh pembangkang yang berpusat di bandar-bandar besar.

Di satu sudut lain, kanak-kanak bermain di tepi batu yang memisahkan laut dan tapak himpunan diawasi oleh beberapa orang dewasa lain yang turut melepak menghabiskan masa dengan keluarga dan rakan-rakan lain.

Tiada sebarang retorik politik yang didendang dari pembesar suara, kecuali kadang-kadang lagu rock seperti Rajawali Terbang Tinggi dan lagu rasmi PAS.

“Kami datang sekeluarga dan bersama keluarga besar kami,” kata Zuraini Ani dari Kuala Lumpur sambil memangku bayi berusia 11 bulan.

Beliau bersama suami, dua anak kecil dan adik iparnya hanya tiba pagi ini di Kuala Terengganu kerana bekerja semalam.

Selepas masuk waktu Zuhur, kelihatan kumpulan-kumpulan kecil berganti-ganti untuk solat di khemah khas. Ramai juga yang bersolat di kawasan batu pantai dan kawasan lapang lainnya.

Tidak ada sebarang paksaan atau ancaman kepada mereka yang bekerja atau mungkin tidak bersolat.

Malah tiada satu pun dalam kalangan ribuan yang hadir dan ditemui menunjukkan mentaliti musuh kepada orang-orang luar seperti petugas media atau keselamatan, tetapi tindakan mereka tetap sivil seolah ini hanyalah satu himpunan awam yang dibawa oleh sebuah parti berpolitik “matang dan sejahtera.”

Mungkin persoalannya bukanlah sama ada PAS telah bersedia untuk menjadi pilihan, tapi apakah BN dan PH telah bersedia dicabar oleh Gagasan Sejahtera.

– https://www.themalaysianinsight.com

.