MENTERI PERLU DEDAHKAN NILAI ‘ALPHA’

SHAH ALAM – Pemuda Amanah berpendapat bahawa Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) seharusnya mengemukakan nilai ‘alpha’ dengan pengumuman bahan api dan petrol.

Naib Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata penting untuk pihak Kerajaan berlaku telus dan jujur dengan rakyat.

“Sikap Menteri KPDNKK yang terus membisu dan amat berahsia tentang nilai ‘alpha’ dalam formula APM serta kaedah sebenar pengiraan bahan api ini sama sekali tidak boleh diterima.

“Bahkan lebih jauh, sikap ini telah ditanggap ramai pihak sebagai perancangan tersusun untuk kerajaan merahsiakan keuntungan sebenar yang dikaut saban minggu,”katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

‘Alpha’ adalah nilai perbezaan antara harga Mean of Platts Singapore (MOPS) dengan harga sebenar yang dibeli syarikat minyak.

Nilai itu diambil kira dalam formula menentukan harga minyak.

Sebelum ini, pihak kerajaan telah melakukan penetapan harga mingguan bagi bahan api petrol dan diesel.

Shazni Munir berkata, KPDNKK seharusnya bertindak segera dengan mendedahkan dahulu nilai ‘alpha’ rasmi yang diguna pakai sewaktu pengumuman harga mingguan petrol dan diesel.

“Jika gagal, pihak menteri telah mengiakan telahan awam bahawa kerajaan memang sengaja berselindung untuk menipu setiap sen daripada poket rakyat,” katanya lagi.

– Sinar harian

.