MENTERI NAFI CEO PROTON BUANG PEKERJA

Kurang tiga bulan mengambil-alih jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Proton Holdings, pelbagai khabar angin tersebar mengenai Li Chunrong.

Ini termasuk tuntutan bahawa beliau sedang memecat kakitangan Proton dan mengendalikan mesyuarat dalam bahasa Cina.

Walau bagaimanapun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan menafikan khabar angin itu.

“Saya ada dengar desas-desus ini, tetapi selepas siasatan, kami mendapati tiada (kebenaran), semuanya bohong belaka,” katanya yang dipetik akhbar Nanyang Siang Pau.

Sementara itu, Ong mendedahkan bahawa Li memberi kata-dua kepada pembekal komponen automotif Proton untuk mengurangkan harga mereka sebanyak 30 peratus menjelang akhir tahun.

Jika mereka gagal berbuat demikian, beliau berkata Proton akan mencari di tempat lain.

Ong menegaskan bahawa Proton membeli bahagian automotif pada harga premium 30 peratus daripada harga pasaran, dan kos tersebut akhirnya ditanggung oleh pengguna.

“Meminta pembekal mengurangkan harga boleh mengurangkan kos operasi Proton, yang akhirnya menyaksikan pengguna menikmati harga yang berpatutan,” katanya.

Ong, yang juga setiausaha agung MCA, berharap usaha Li untuk memperbaharui Proton akan menyaksikan jenama itu menembusi pasaran antarabangsa sekali lagi.

– M’kini

.