MENTERI MAHU BABAK ‘DAP165’ DIPOTONG

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mencadangkan babak yang dikatakan menghina DAP dipotong daripada filem Malay Regiment yang akan ditayangkan pada 31 Ogos ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata demikian ketika diminta mengulas filem terbaru Datuk Jurey Latiff Rosli itu yang memaparkan penggunaan kereta dengan nombor pendaftaran DAP165.

Nombor pendaftaran itu seakan-akan perkataan “DAPIGS” yang sering digunakan oleh pahlawan papan kekunci anti-DAP untuk menghina dan memburuk-burukkan DAP di Internet.

Babak kontroversi itu dikesan melalui penyiaran trailer filem itu yang dimuat naik ke Youtube.

“Perkara itu telah dibawa ke perhatian saya pagi ini.

“Sewaktu semak trailer itu, saya dapati babak itu tidak sesuai dan minta ia dikeluarkannya,” katanya.

Salleh juga meminta semua pembikin filem supaya lebih sensitif dan tidak berlebih-lebihan dalam karya masing-masing.

Bekas pemimpin Gafim: Rasisme tersirat

Dalam perkembangan yang sama, seorang bekas penerbit tersohor yang juga bekas pemimpin kanan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafim) menyifatkan filem tersebut sebagai propaganda politik.

“Maaf, saya tidak sokong atau (akan) menonton filem oleh pengarah atau syarikat penerbitan dedak.

“Filem ini cuba menyelitkan mesej rasisme secara tersirat,” katanya tanpa mahu namanya disebut.

Menurut bekas penerbit itu, sasaran filem itu adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang.

– M’kini

.