‘Menteri jahil mengenai saman mahkamah DOJ’

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago membidas menteri Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan kerana kejahilannya berkata bosnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak dinamakan sebagai subjek penyiasatan dalam saman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika berkaitan dana 1MDB yang diselewengkan.

Katanya, Abdul Rahman yang juga adalah pengarah komunikasi strategik BN telah mendedahkan rahsia terbuka dengan mengesahkan Najib sebagai Malaysian Official 1 (MO1).

“Kesimpulan Abdul Rahman bahawa nama Najib disebut dalam tuntutan mahkamah DOJ kerana perdana menteri bukan sebahagian daripada siasatan adalah suatu kesilapan yang menunjukkan kejahilannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, ketika diwawancara BBC, Abdul Rahman mengakui bahawa Malaysian Official 1 adalah jelas merujuk kepada Najib tetapi menegaskan bahawa perdana menteri tidak dinamakan dalam saman sivil DOJ kerana beliau tidak disiasat.

Namun menurut Charles, Najib tidak dinamakan dalam saman DOJ kerana beliau tidak mempunyai hartanah di Amerika yang dibeli dengan menggunakan wang yang diseleweng daripada 1MDB.

“Laporan (DOJ) itu merujuk kepada MO1 sebanyak 36 kali dan menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz, ahli perniagaan yang membantu menubuhkan 1MDB, Jho Low dan bekas pengarah urusan International Petroleum Investment Company, Khadem Al Qubaisi, sebagai defendan,” katanya.

Menurut Charles, sesetengah dakwaan ke atas MO1 boleh didapati dalam laporan akhbar Wall Street Journal tahun lalu berhubung dana AS$681 juta yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

“Menurut tuntutan saman itu, wang daripada jualan bon 1MDB pada 2013, telah dipindahkan ke dalam akaun MO1, ini jelas menjebakkannya (Najib),” kata Charles.

Beliau berkata Goldman Sachs menerbitkan bon berkenaan dalam sekelip mata selepas pertemuan peribadi dengan Najib di Switzerland, juga sedang disiasat.

Kerajaan Amerika memohon untuk mendapatkan semula aset bernilai lebih AS$1 bilion yang didakwa dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada dana pelaburan negara Malaysia itu. – M’kini

.