MENTERI INI MAHU KITA MENCONTOHI NAJIB ATAU BELIAU MENYINDIR PERDANA MENTERI?

Misi dan visi melahirkan individu berkeperibadian mulia serta berdaya saing hanya akan tercapai jika masyarakat sedia mengubah cara pemikiran mereka, demikian kata Menteri Pengajian Tinggi, Idris Jusoh.

Untuk itu, kata beliau,  corak pemikiran yang hanya pada tahap “jutaan” harus segera diubah kepada “bilion” dan “trilion”.

Kalau hendak jadi yang terbaik di dunia, mereka perlu sasarkan bukan saja “jutaan”, tetapi mesti kepada “bilion” dan “trilion”, kata Idris lagi.

Memang sebelum ini, masyarakat kita agak jarang-jarang mendengar perkataan “bilion” atau “trilion”, sebaliknya yang biasa mereka dengar hanyalah “jutaan” saja.

Malah, ada orang yang tak tahu pun “bilion” itu berapa jumlahnya, apatah lagi “trilion”.

Kita hanya biasa mendengar perkataan “bilion” sejak skandal 1MDB meletus di mana hutangnya didapati mencecah lebih RM50 bilion, satu angka yang mengejutkan semua orang, manakala wangnya yang dipercayai dilencongkan pula mencecah AS$4.5 bilion atau kita-kira RM20 bilion atau RM20,000 juta.

Selain itu, perkataan “bilion” lebih menjadi sebutan rakyat apabila dalam akaun bank peribadi Najib didapati ada wang sejumlah RM2.6 bilion atau RM2,600 juta banyaknya, satu jumlah yang tak terfikir oleh kebanyakan orang boleh dimiliki oleh seorang pemimpin yang mengetuai negara di mana lebih 7 juta rakyatnya layak menerima BR1M.

Najib mengatakan wang tersebut adalah derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, tetapi DOJ menyimpulkan ianya bersumberkan daripada dana 1MDB yang dilencongkan dan disalurkan melalui satu akaun bank kepunyaan Eric Tan atau Jho Low.

Hari ini, disebabkan jumlah wang yang ada dalam akaun Najib itu, rata-rata rakyat kebanyakan yang tak berapa ada duit pun sudah biasa menyebut perkataan “bilion” dalam perbualan seharian mereka, bahkan ayat “jutaan maaf” juga sudah ditukar menjadi “bilion kemaafan”.

Perkataan “trilion” pula mula menjadi sebutan sejak setahun dua kebelakangan ini  berikutan angka hutang negara yang terus meningkat daripada setahun ke setahun sejak Najib menjadi Perdana Menteri.

Dengan hutang negara kini melebihi RM700 bilion dan trend kepimpinan Najib terus giat menambah angkanya, pakar-pakar ekonomi menjangkakan jumlah hutang negara akan meningkat kepada RM1 trilion menjelang tahun 2020 akan datang.

Pernahkah kita terbayang hutang negara boleh mencecah sehingga RM1 trilion atau RM1,000 bilion banyaknya?

Tidakkah jika tanpa adanya Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia, mungkin ada antara kita tak kenal pun perkataan “bilion” atau “trilion”?

Begitulah hebatnya Najib!!!

Maka, apabila Idris Jusoh mahu masyarakat mengubah corak permikiran daripada “jutaan” kepada “bilion” dan “trilion”, beliau sebenarnya mahu kita mencontohi Najib atau beliau secara diam-diam menyindir Perdana Menteri?

– http://shahbudindotcom.blogspot.fr/

.