MENTERI DARI SARAWAK ‘SEDIH’ AKTA 164 DITANGGUHKAN

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Datuk Seri Rohani Abdul Karim melahirkan rasa sedih ekoran penangguhan Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) daripada dibentang pada sidang Dewan Rakyat pada sesi yang baru berakhir.

Bagaimanapun, Rohani yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar, Sarawak yakin ia pasti akan dapat dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

“Saya pun sedih sebab saya pun ada juga Akta Keganasan Rumah Tanga. Sama sedih.

“Tapi kita pun fikir dari segi kehendak-kehendak untuk bawa RUU tertentu.Jadi RUU saya dibawa ke sidang akan datang,” kata Rohani ketika diminta mengulas penangguhan pembentangan Akta 164.

Rohani berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan MAKPEM 2017 Perlindungan Sosial dan Pembangunan Mampan – Memperkasakan Warga Emas, di Kuala Lumpur, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, Akta 164 itu akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk diteliti semula selain mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar-pakar agama.
Menurut Ahmad Zahid, tindakan menangguhkan pindaan Akta 164 itu untuk memastikan ia tidak bercanggah dengan fatwa dan perlembagaan Persekutuan.

Baru-baru ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menggesa kerajaan menangguhkan pindaan Akta 164 itu kerana ada pindaannya bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan dan hukum syarak serta dianggap memperlekeh dan menghina Islam.

Sementara itu, diminta mengulas berhubung apakah BN Sarawak akan terus menentang Akta 355 selepas Anggota Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangnya di Dewan Rakyat Khamis lalu, Rohani enggan memberikan kenyataan dan mengakhiri sidang media yang berlangsung.

– M’kini