MENJUNJUNG KASIH TITAH UCAPAN SULTAN JOHOR

Ampun Tuanku,
Tiada terhingga girangnya hati patik setiap kali dapat mendengar titah ucapan Tuanku terutama dalam majlis-majlis bersama rakyat di serata Johor. Bak kata orang tua-tua, setiap kali itulah hilang gelap munculnya terang; hilang kabus teduhlah hujan.

Setiap butir kata Tuanku patik amati; pesanan dan kebijaksanaan Tuanku patik kutip dan simpan. Begitu luasnya pandangan Tuanku sejak sekian waktu berulang-kali menegaskan agar segera diwujudkan sebuah bangsa yang bersatu padu, dalam erti kata “dengan merdeka bersatu hati” yang sebenar-benarnya.

Pertama, tiada tara bagus dan baiknya gagasan Tuanku demi mewujudkan sekolah satu aliran. Datanglah kefahaman kepada patik bahawa sekolah laksana rumah, dan rumah laksana negara.

Sekiranya sedari mula tidak dipisahkan kaum-kaum di sekolah, maka akan sejati sejiwalah sekalian kaum sampai ke akhir hayat. Kalau dipisahkan anak-anak kita, yang mungkin sepertimana formula parti politik perkauman sempit adanya, maka kekal terpisahlah rakyat Tuanku mengikut warna kulit.

Sedangkan, ketetapan Allah Taala jualah setiap kaum. Bukanlah atas kehendak manusia itu sendiri.

Sejajarlah gagasan jauh Tuanku dengan peringatan surah al-Hujurat, ayat 13: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.”

Ampun tuanku,

Semerah anak Semerah,
Mana takut ombak laut;
Adat pendekar pantang menyerah,
Di depan Tuanku patik melutut.

Selain itu, patik juga kagum dengan ketegasan Tuanku agar di sekolah satu aliran itu kelak wajib diajar bahasa Melayu. Tiada ertinya kalau ada ketetapan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, akan tetapi tidak dijadikan bahasa kesatuan bangsa Malaysia.

Kebijaksanaan leluhur bangsa ini telah pula Tuanku sambungkan dengan cadangan bijaksana agar bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib, di samping bahasa ibunda seperti bahasa Mandarin dan Tamil diberikan sebagai mata pelajaran pilihan. Di sana, terhapuslah kebimbangan masyarakat Cina dan India khususnya akan nasib bahasa ibunda mereka.

Mutiara akal yang tersirat dalam titah ucapan Tuanku di Pasir Gudang tempoh hari juga berlegar mengenai sifat orang Melayu yang taatkan negara serta kasihkan raja.

Begitulah juga yang diajar oleh ibu-bapa dan cikgu-cikgu patik sejak kecil di kampung patik di Semerah, Batu Pahat. Lapan belas tahun patik membesar di sana sebagai anak kampung yang sayangkan negeri dan bangsanya. Sehinggalah patik berkelana ke Shah Alam, Selangor untuk belajar dan meneruskan hidup di Lembah Klang. Sampai saat ini.

Hari ini, di sinilah patik kekal menumpang hidup. Demi sesuap nasi. Usahlah Tuanku bimbang, kawan-kawan patik di sini ramai yang baik budi pekerti dan hati mereka. Patik diberi pula peluang untuk turut menyumbang buah fikiran dan khidmat jasa kepada negeri di mana patik berteduh ini.

Selalu patik ingat pesan Tuanku: di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Betapa patik terhutang budi yang tiada taranya dengan kepimpinan kerajaan negeri Selangor, di samping berteduh nasib di bawah lindungan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Patik akan berusaha agar tidak mencemar nama baik Johor di tempat orang.

Ampun Tuanku,
Sementara rindu patik kepada Johor selalu berbunga, patik abadikan dengan memakai kurung Teluk Belanga seberapa kerap, termasuk pada setiap Jumaat dan di hari-hari kebesaran. Ketika tiba Hari Hol, dari jauh patik sedekah al-Fatihah khusus kepada almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar. Kepada patik, Johor bukan hanya terlukis di atas peta dan bendera bangsa; tapi Johor kekal ada di dalam hati dan doa patik.

Ampun Tuanku,
Usaha patik untuk pulang ke Johor pada tahun 2008 terkandas. Ketika itu, patik kalah dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12. Patik memilih untuk bertanding di DUN Semerah, walaupun patik berpeluang untuk bertanding di negeri sini dengan peluang untuk menang lebih besar. Namun, kepada Johor jualah patik telah menyerah diri waktu itu.

Walaupun kalah sebagai calon PKR, undi yang patik terima meningkat banyak. Saudara-mara, kenalan, sahabat-handai dan orang kampung patik ramai yang menyokong dengan semangat, wang ringgit, titik peluh dan mengundi patik.

Alhamdulillah, patik dapat kerat separuh daripada majoriti berbanding PRU sebelumnya. Tidak lain patik cuba hidupkan kerlip cahaya ketika tidak ramai watan Johor dalam PRU tahun berkenaan yang sanggup pulang dan mengambil risiko. Hari ini, patik bersyukur apabila semakin ramai yang tampil mahu menjadi wakil rakyat di negeri Tuanku. Mereka mulai pulang dari seluruh pelosok negara. Ada yang pernah jadi YB, ada yang belum.

Teman-teman seperjuangan patik ramai pula yang menang di Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor. Tentulah patik cemburu, tapi bukanlah cemburu kerana hasad dengki. Hanya patik dapat melihat dengan mata kepala patik, walaupun ada ribut dan gelora dalam politik, satu era pembangunan baharu dapat dicipta di negeri-negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi di Selangor.

Patik saksi, menteri besarnya juga seorang yang bijaksana, ikhlas bekerja kuat untuk terus membangun bangsa dan memajukan negeri. Rezab negeri pun bertumpuk melebihi RM3.6 bilion. Belanjawannya meningkat mendadak saban tahun dan peruntukan pembangunan pula lebih dari separuh daripada jumlah duit yang dibelanjakan. Selangor khabarnya juga kekal sebagai negeri penyumbang tertinggi kepada KDNK Malaysia, yakni 22.6 peratus.

Biarpun berhujan berpanas di padang orang, patik amat bersyukur apabila wadah politik yang patik sertai sejak 1999 iaitu PKR kini jadi tunjang pentadbiran baharu di Selangor sejak lapan tahun lalu. Begitulah demokrasi yang subur dapat menjadikan rakyat kecil seperti patik ini berpeluang berlumba-lumba bersaing menanam bakti kepada ibu pertiwi.

Tiada pernah terdetik di hati patik dan kawan-kawan seperjuangan untuk menggulingkan kerajaan dengan jalan yang tidak berperlembagaan. Pada hemat patik, titah Tuanku tempoh hari tiadalah bermaksud menghalang rakyat untuk menyuarakan pandangan dan resah batin akibat kecuaian pemimpin tertentu untuk melaksanakan dasar yang pro-rakyat dan beramanah.

Seperti yang dititahkan Tuanku, patik akui bahawa semua pihak juga wajar berpada-pada dan tidak melampau dalam tindakan. Kebebasan bukan alasan untuk melakukan jenayah. Demontrasi pula bukan tempat untuk mengugut, berlagak samseng, menunjuk kuat otot-otot apatah lagi memukul dan menibai orang tak tentu pasal.

Semua itu jauh sekali dengan adat resam Melayu. Samalah lagaknya mereka itu seperti menteri yang secara terbuka sengaja berbiadab terhadap raja-raja Melayu.

Sesungguhnya pemimpin politik sebegitu ibarat peribahasa, “hitam gagak tiada siapa yang mencelupnya”.

Dalam waktu sama, dari pihak yang sama, sejak sekian lama pula mereka-reka tuduhan kononnya parti pembangkang ingin menghapuskan institusi Raja-Raja Melayu. Tuduhan berkenaan adalah dusta sama sekali.

Ampun Tuanku,
Patik juga ingin merakam rasa terhutang budi bila mana Tuanku pernah bertegas tidak mahu cukai GST dilaksanakan di Johor. Cukai itu menyebabkan ekonomi rakyat terhimpit. Baik di Johor atau di negeri-negeri lain.

Betapa patik dan sekalian rakyat berasa amat terharu apabila Tuanku sentiasa ingin dekat merasai denyut nadi rakyat terbanyak.

Tidak tergambar di dalam fikiran patik bahawa Tuanku sanggup mencemar duli menengok sendiri keadaan kebakaran di Hospital Sultanah Amanah dan meminta wad diraja digunakan kepada mereka yang memerlukan. Demikianlah sifat raja berjiwa rakyat dan kepada Tuanku tiada putus doa patik agar Allah peliharakan Sultan.

Ampun Tuanku,
Sekianlah dahulu luahan ikhlas dari patik, dan, kepada Allah berserah.

WRITER: HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

MKINI