MENJERKAH ‘PELESIT RUMAH PUTIH’ DI PUTRAJAYA

Himpunan Selamatkan Baitulmuqaddis di Putrajaya hari ini akan berlangsung kira-kira 12 jam selepas 128 negara bersepakat mengutuk kerajaan Donald Trump memperakui bandar suci tiga agama itu sebagai ibu negara Israel.

Menariknya usul mengutuk Washington itu turut disokong empat anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu Russia, Perancis, China dan Britain.

Usul berkenaan sudah tentulah dibantah AS dan Israel sendiri. Bersama mereka ialah enam lagi negara Guatemala, Honduras, Kepulauan Marshall, Micronesia, Nauru, Palau dan Togo.

Dan – ya – ada negara memilih untuk berkecuali. Secara tepat, 33 kerajaan memilih untuk bersikap begitu, termasuk Kanada, Mexico, Uganda, Romania dan jiran kita, Filipina.

Bolehlah dibayangkan ketika undian itu dijalankan Duta AS ke PBB, Nikki Haley, seolah-olah menjadi ketua darjah yang mengambil kedatangan pelajar.

Cuma bezanya di perhimpunan PBB itu diplomat terbabit mencatat nama negara yang mengundi untuk mengutuk ketuanya, Trump. Dan Nikki menjadi ‘ketua darjah’ tanpa diminta sesiapa pun. Dia – tanpa rasa aib – melantik dirinya sendiri ke jawatan itu.

Dan hari ini di Putrajaya umat Islam yang berasa terluka dan sakit hati akan berkumpul beramai-ramai. Masing-masing mengetepikan seketika perbezaan atau sakit hati – kalau adalah – yang wujud akibat perbezaan politik.

Untuk membuktikan kesepaduan ummah demi tanah bertuah bernama Baitulmuqaddis itu ada beberapa langkah simbolik yang boleh diambil pihak penganjur.

Selain diadakan di hari yang mulia – iaitu Jumaat – himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis itu juga berlangsung di tempat yang mulia juga – masjid.

Ia dihadiri oleh tokoh-tokoh yang dimuliakan – seperti ulama, menteri, cendekiawan waima anggota keselamatan. Mereka itu orang mulialah – setidaknya dimuliakan oleh penyokong masing-masing.

Berikut beberapa cadangan yang boleh melakar sejarah signifikan hari ini:

  • Tazkirah

Seperti kebiasaan di kebanyakan masjid, sebelum masuk waktu yang ditetapkan, jemaah akan diperdengarkan dengan ceramah pendek.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad boleh diberikan masa selama kira-kira 30 minit sebelum azan dikumandangkan untuk menyampaikan tazkirahnya.

Beliau adalah ilmuan yang dihormati (walaupun tidak semua bersetuju dengan beliau). Dengan keperibadiannya yang tawaduk serta serba cermat, alangkah bertuahnya jemaah di Masjid Putra hari ini dapat menadah telinga mendengar nasihat daripada beliau.

Cuma jika ada antara mereka yang menjadi anggota atau penyokong Persatuan Ahli Sunnah wah Jamaah (Aswaja) mungkin kurang senang sedikitlah. Tapi demi Palestin, biasanya bersabar adalah yang terbaik.

  • Mimbar

Tidak ada isu yang lebih tepat untuk menjadi tema khutbah Jumaat selain tentang Baitulmuqaddis. Dan tidak ada tokoh yang lebih sesuai memperkatakannya selain Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau bukan calang-calang orang. Abdul Hadi ialah naib ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang sangat mendalam ilmunya tentang politik antarabangsa. Beliau adalah orang kedua terpenting dalam kesatuan itu selepas Dr Yusuf al-Qaradawi.

Jika ia menjadi kenyataan, alangkah bertuahnya PAS kerana pada 2013 dulu penyokong parti tersebut mengidamkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membaca khutbah atau menjadi imam di Putrajaya.

Apa yang berlaku hanyalah beliau hadir untuk mendirikan sembahyang Jumaat di Masjid Putra tersebut. Abdul Hadi adalah jawaban kepada harapan menggunung PAS.

Kecualilah beliau tidak hadir.

  • Mihrab

Selesai kedua-dua khutbah, alangkah indahnya jika ketika muazzin mengalunkan iqamat dan semua jemaah berdiri, Datuk Seri Najib Razak maju ke sejadah tunggal yang dibentangkan di tempat paling depan.

Semua jemaah dalam masjid yang berkat itu mengerjakan sembahyang Jumaat dengan berimamkan perdana menteri.

Ia sedikit sebanyak mengingatkan kita kepada kelibat Recep (disebut Rejab) Tayyip Erdogan yang tidak kekok menjadi imam atau membaca al-Quran pada ketika tertentu bersama rakyatnya.

Ia juga tentu menyegarkan semula kenangan ramai kepada susuk bernama Ismail Haniyeh yang memang lazim menjadi imam. Pada Najib dan Ismail mereka disatukan oleh jawatan dalam kerajaan, iaitu perdana menteri. Seorang perdana menteri Malaysia manakala yang seorang lagi perdana menteri Hamas.

  • Munajat

Selesai mengerjakan sembahyang Jumaat, jika mahu bolehlah diserahkan mikrofon itu kepada Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula.

Izinkan wakil PKR itu membaca doa selepas sembahyang. Bagi jemaah yang berpendapat amalan berdoa beramai-ramai sebegitu tidak mengikut sunnah, bolehlah mereka bergerak perlahan-lahan ke tempat perhimpunan.

Sementara itu yang lain-lain mengaminkan doa dibaca Saifuddin.

Ia nampak macam remeh, atau mustahil. Namun menghormati pandangan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah baru-baru ini, ia bukanlah mustahil.

Peluang itu juga harus dijelmakan sebagai suatu simbolik bahawa perbezaan parti dan politik tergugur serta ditinggalkan di pintu masjid untuk sementara. Buktikan kebesaran jiwa masing-masing untuk berlapang dada atas nama Islam.

  • Efigi 

Sebahagian daripada anggota Umno dan PAS boleh berganding bahu menyiapkan patung-patung berupa wajah Trump untuk dinyalakan api padanya.

Ia adalah simbolik kemarahan umat Islam kepada presiden AS itu.

Cuma haruslah difahami jangan pula yang mencucuh api itu Najib. Mungkin boleh serahkan tugas berkenaan kepada orang lain. Datuk Seri Jamal Md Yunos, misalnya.

Cuma pastikan beliau mengenakan pakaian yang sesuai, kemas serta segak. Tidak perlu bawa penukul besi. Lupakan sementara kelengkapan gimik yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Untuk perdana menteri, membakar patung bukan tarafnya. Tambahan pula jika gambar beliau membawa jamung untuk menyalakan patung itu dirakam media antarabangsa dan sampai ke pengetahuan Trump. Tak manis jua.

  • Anak Kelantan

Jika kena dengan arahan dan kerahannya, sasaran himpunan 10,000 orang sangat mudah dicapai. Malah tidak mustahil jumlah kehadiran mencecah 200,000 orang.

Selain kakitangan kerajaan di Putrajaya dan sekitarnya, entah berapa ratus ribu lagi orang Kelantan berada di sekitar Lembah Kelang.

Mereka berhijrah dari tanah Cik Siti Wan Kembang itu bukan saja-saja. Seperti dijelaskan Mohd Amar baru-baru ini bahawa orang Kelantan bekerja di luar Kelantan kerana “orang luar tak pandai”.

Jika arahan diberi oleh PAS, tentu anak Kelantan yang pandai-pandai belaka itu akan berduyun-duyun turun ke Putrajaya. Daripada sekian ramai yang ada, 10 peratus datang pun, jadilah.

  • Kemuncak himpunan

Syarat yang menyempurnakan himpunan unjuk rasa marah ialah ucapan bersemangat dan berapi-api. Siapa lagi yang dapat melakukannya kalau bukan Najib, timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi?

Tegaskan bahawa umat Islam tidak rela melihat Trump mempermainkan keinginan dunia yang mahu Timur Tengah menjadi rantau yang aman.

Gejolak di Asia Barat – secara umumnya – berpunca daripada konflik Palestin – Israel itulah. Tempiasnya merebak ke merata-rata tempat dalam dunia ini.

Jika aman Timur Tengah, maka amanlah dunia.

Najib tentu fasih benar untuk memberi kefahaman kepada orang ramai mengenai hal itu.

Hakikat beliau adalah rakan kepada Trump dan dipelawa bermain golf bersama-sama langsung tidak menjadi penghalang untuk Malaysia menyatakan mesej yang jelas lagi nyata bahawa kita bosan dengan sandiwara itu.

Semakin lantang dan ranggi Najib, semakin kuat dan bergemalah mesej daripada rakyat negara ini ke Rumah Putih. Tidak perlu takut apa-apa untuk mengherdik mereka.

Untuk mengelak kecaman kerajaan asing kepada Najib, beliau bolehlah mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku selepas himpunan bersama Rohingya di Titiwangsa Disember tahun lalu.

Kesimpulannya, himpunan hari ini adalah detik penting buat Malaysia dan dunia. Biar negara lain melihat dengan takjub dan hormat kepada kita.

Seperti kata Ahmad Zahid, Malaysia tidak gentar dengan acah-acah Washington memotong bantuan kewangan buat negara ini.

Malaysia bukan sekadar negara penerima, sebaliknya dengan gagah perkasa, berstatus negara pemberi dana buat Amerika Syarikat.

Perdana menteri bertemu Trump bukan untuk meminta sedekah, apa lagi melutut.

Nanti semasa perhimpunan agung Umno akan datang anggota parti tidak lagi perlu bersayu-sayu menyanyi lagu Anak Kecil Main Api, sebaliknya boleh berlagu bangga dengan Anak Kecil Main Duit KWSP.

Pada masa sama keberanian serta gelora semangat kepahlawanan Bugis tetap membara dalam jiwa dan darah Najib. Kita – rakyat Malaysia – boleh bersama-sama menyaksikan betapa bertuahnya beliau.

– M’kini

.