MENJELANG PRU14, NAJIB CUBA SELESAIKAN MASALAH UNTUK KEKALKAN KUASA

MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan selewat-lewatnya Ogos, Perdana Menteri Najib Razak dilihat “menyelesaikan masalah-masalah” yang boleh menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa.

Antara isu yang sudah diselesaikan pentadbiran Najib menjelang PRU14 seperti pemilikan tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, seseorang didakwa dalam kes penculikan Pastor Koh dan Malaysia membayar hutang terakhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Abu Dhabi.

Berbanding dengan PRU13, pentadbiran Najib pada ketika itu berdepan dengan dua skandal besar iaitu “skandal lembu” Ketua Wanita Umno Shahrizat Jalil dan tuduhan isteri perdana menteri membeli cincin bernilai RM24 juta yang akhirnya menyebabkan BN hanya mendapat 49% undi popular walaupun masih berkuasa.

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Institut Pulau Pinang Dr Wong Chin Huat berpandangan isu-isu yang diselesaikan Najib menjelang PRU14 adalah “isu-isu kecil”.

“Kes Pastor Koh jelas merupakan satu gimik. Yang didakwa ialah orang yang meminta wang tebusan walaupun kes ini jelas bukan bermotifkan wang,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.

Menurut Wong, perbezaan besar antara PRU13 dan PRU14 ialah gabungan pembangkang tidak lagi bekerjasama dengan PAS dan mempunyai sekutu baharu iaitu Dr Mahathir Mohamad.

“Kesemua pakatan pembangkang sebelum ini melibatkan PAS tanpa Dr Mahathir, Pakatan Harapan (PH) kini berbeza.

“Kuncinya ialah apakah Dr Mahathir mampu menarik undi Melayu yang mencukupi dan mempertahankan undi bukan Melayu yang menyokong pembangkang pada PRU13,” katanya.

Wong berkata, dalam semua isu-isu yang diselesaikan Najib, isu Felda mungkin akan dapat membantu BN untuk mengekang kemaraan PH yang cuba mendapatkan undi di kubu kuat parti pemerintah itu.

“Ia dapat menghalang pembangkang untuk menjadikannya sebagai isu untuk meraih undi,” katanya.

Potret Perdana Menteri Najib Razak dibiarkan tertinggal bersama kenangan lampau setelah bangunan Anjung Felda, Jalan Semarak itu dikosongkan. Hari ini pemimpin Pakatan Harapan skeptik melihat usaha Najib menyelesaikan masalah berkait dengan BN untuk meraih sokongan pada PRU14 nanti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Januari, 2018.
Potret Perdana Menteri Najib Razak dibiarkan tertinggal bersama kenangan lampau setelah bangunan Anjung Felda, Jalan Semarak itu dikosongkan. Hari ini pemimpin Pakatan Harapan skeptik melihat usaha Najib menyelesaikan masalah berkait dengan BN untuk meraih sokongan pada PRU14 nanti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Januari, 2018.

Mampukah Najib meyakinkan pengundi?

Ahli strategi PH bagaimanapun skeptik langkah-langkah Najib itu dapat meyakinkan pengundi untuk terus menyokong BN pada PRU14.

Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata, “kegemaran” Najib akan kleptokrasi sudah tersebar ke seluruh negara selepas PRU13.

“Faktanya ialah Najib sudah dilihat sebagai seseorang yang gilakan kleptokrasi atau kleptomania dan isu-isu seperti 1MDB, SRC International dan Felda adalah sesuatu yang tidak dapat diselamatkan lagi.

“Walaupun Najib berusaha keras untuk menutup semua skandal-skandal ini bagi memadamkan ketidakpuashatian rakyat, mampukah tindakan-tindakan ini memberikan keyakinan kepada rakyat?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dzulkefly berkata, kehilangan berbilion ringgit wang negara disebabkan pentadbiran Najib adalah sesuatu yang sukar dilupakan, apa lagi dimaafkan.

“Jadi, jangan berilusi Najib mampu mengalihkan perhatian atau menipu rakyat lagi.

“Semakin cepat Umno sedar tentang ini, lebih baik untuk mereka dan lebih cepat rakyat menyingkirkan Najib dan BN, lebih baik untuk Malaysia,” katanya.

Pemikir strategi DAP Liew Chin Tong pula berkata, rakyat yang sudah sedar tentang kepincangan pentadbiran Najib dan BN tidak mudah dipesongkan dengan tindakan-tindakan kerajaan menyelesaikan isu-isu itu.

“Saya fikir Najib seperti berada dalam ‘istana pasir’. Dia fikir rakyat ‘buta’ dan masih mudah untuk dipengaruhi dengan tindakan-tindakannya.

“Apabila rakyat sudah faham tentang punca permasalahan yang berlaku dalam negara, mereka sudah tidak akan berpatah balik,” kata ahli Parlimen Kluang itu kepada The Malaysian Insight.

BN kini berdepan dengan cabaran terbesar dalam sejarah pilihan raya selepas PH menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri mereka.

Dr Mahathir merupakan bekas pengerusi BN yang pernah memimpin gabungan itu untuk memenangi lima pilihan raya umum dengan majoriti dua pertiga di Parlimen.

– https://www.themalaysianinsight.com

.