MENGAPA SENYAP SUNYI CERITA UNILODGE DI MELBOURNE?

AKHBAR Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan pada 27 Januari 2018 bahawa transaksi berhubung pembelian sebuah hartanah di Australia oleh dana awam dari Malaysia telah mengakibatkan AUD$ 18.3 juta masuk ke dalam saku para konspirator, pegawai-pegawai perasuah dari Malaysia.

Skandal ini melibatkan penilaian berlebihan ke atas bangunan pangsapuri kota 280 bilik, UniLodge. Majlis Amanah Rakyat (Mara) dituduh terbabit. Empat hari telah berlalu dan tidak kedengaran sebarang reaksi daripada mereka yang berwenang.

Mengapa senyap sunyi berhubung skandal yang didakwa ini? Di manakah akauntabiliti? Akal dan etika yang baik menuntut menteri bertanggungjawab supaya segera membuat pernyataan bagi menanggapi laporan SMH ini.

Rakyat Malaysia menuntut siasatan menyeluruh dan pencerahan yang jelas mengenai apa yang berlaku. Mereka yang disiasat mesti melepaskan semua jawatan yang sedang disandang. Sekiranya suatu kesalahan terbukti dilakukan, pihak yang bersalah mesti dihukum dengan sewajarnya.

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) ingin mengingatkan bahawa dana wang awam mesti dibelanjakan secara berhemah demi kebaikan rakyat. Pembelian apa-apa barang, kelengkapan, dan bangunan, pada harga melambung melampau (overinflated prices) tidak boleh diterima.

Kami menghimbau laporan yang mengejutkan pada tahun 1982 oleh Ketua Audit Negara (KAN) mengenai harga belian sebungkus mi Maggi segera pada harga RM4.00, sedangkan harga pasaran pada masa itu hanya 30 sen.

Sejak itu, laporan tahunan KAN terus menerus mendedahkan pernyataan yang mengejutkan berhubung penyalahgunaan kuasa. Tindakan tidak masuk akal oleh jabatan-jabatan kerajaan and penjawat-penjawat awam membuat pembelian pada harga melambung melampau mesti berhenti serta-merta.

Patriot dan semua rakyat Malaysia sedang menunggu Pengerusi MARA dan menteri bertanggungjawab agar segera membuat pernyataan balas terhadap laporan SMH.

– https://www.themalaysianinsight.com

.