MENGAPA PENTINGKAN KETURUNAN DALAM 1MALAYSIA?

Mengapakah anak kelahiran Malaysia masih mementingkan keturunan mereka? Sama ada daripada keturanan Jawa, India, Cina, Minang, Arab, Pakistan, Bugis atau apa saja?

Bukankah mereka semuanya warganegara Malaysia dan berbangsa Melayu, serta tidak pula mereka dikenali dengan keturunan masing-masing?

Cubalah lihat maklumat pada kad pengenalan mereka. Apa yang tertulis dalam kad pengenalan itu? Adakah maklumat tentang keturunan?

Tempoh hari, berbagai-bagai komen dan desakan disuarakan oleh golongan yang mengaku daripada keturunan Bugis yang mahukan Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf atas alasan bekas perdana menteri itu melabelkan orang Bugis sebagai lanun dan perompak.

Ada juga satu pihak yang mahukan Dr Mahathir didakwa, kononnya kerana mengeluarkan kata-kata menghina kaum Bugis.

Seorang menteri kanan Umno pula mengaitkan isu ini dengan seorang pemimpin kanan Indonesia daripada keturunan Bugis, yang dikatakan telah marah dengan kenyataan Dr Mahathir.

Melayu mungkin pupus

Saya ingin bertanya kepada mereka ini: Mengapa apabila seorang menteri kanan Umno menyindir Dr Mahathir berketurunan India, tidak ada desakan supaya beliau didakwa?

Malahan, Dr Mahathir telah menerima sindiran itu dengan penuh kesabaran dan meminta menteri kanan Umno tersebut menunjukkan kad pengenalan lamanya yang ada mencatakan nama dan keturunan dari India.

Hingga sekarang, tidak ada sebarang bukti yang dapat ditunjukkan oleh menteri kanan Umno tersebut. Bukankah ini satu penipuan?

Bagi saya, ini semua mainan politik yang tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada kesatuan dan perpaduan bangsa Melayu di negara ini.

Adakah kita yang berasal daripada pelbagai keturunan yang lahir di negara ini tidak lagi mahu menganggap diri kita sebagai bangsa Melayu?

Adakah kita mahukan diri kita dikenali melalui keturunan kita? Kalau itulah yang kita mahu, maka saya kuatir bangsa Melayu akan pupus di muka bumi Malaysia ini disebabkan tiada kesatuan dan perpaduan bangsa.

Periuk nasi anak muda

Kami dari Persatuan Patriot Kebangsaan tidak rela keturunan menjadi isu yang boleh memecah-belahkan perpaduan bangsa Malaysia, khasnya daripada kalangan bangsa Melayu.

Begitu juga, kami tidak rela isu perkauman dan agama diapi-apikan oleh mana-mana pihak yang akan membawa perpecahan kepada perpaduan dan keharmonian rakyat.

Apa ertinya 1Malaysia yang menjadi laungan kuat para pemimpin Umno sekiranya mereka sendiri yang menjadi punca perbalahan dan perpecahan bangsa Malaysia?

Slogan 1Malaysia tidak akan memberi apa-apa makna sekiranya kita tidak berani menghakis sikap taasub bangsa Melayu yang mementingkan keturunan mereka.

Yang penting sekali, di dunia globalisasi yang semakin rencam dan cabaran-cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu, kita perlu memikirkan periuk nasi beribu-ribu anak muda kita yang sukar mendapat pekerjaan.

Mereka ialah harta warisan ibu pertiwi. 1Malaysia penting menyatukan semua warganegara, memupuk perpaduan, demi cinta akan pertiwi.

1Malaysia seharusnya sinonim dengan perpaduan rakyat pelbagai bangsa dan keturunan.

– M’kini

.