MENGAPA MESTI BELASAH ORANG BUKAN ISLAM?

Sebagai orang Islam dan beriman pula dengan ajarannya, kesabaran itu sangat penting, kata pelakon Noorkumalasari.

Justeru apabila berdepan dengan situasi panas atau ada provokasi, kesabaran orang Islam diuji dan sesuatu kemelut boleh diatasi dengan jalan perbincangan, bukan kekerasan fizikal.

Bercakap kepada Malaysiakini, Noorkumalasari berkata, amalan itu menjadi lebih penting apabila ia membabitkan orang bukan Islam.

“Anda bercakap dengan dia baik-baik walaupun dia berbeza agama, apatah lagi selepas mengerjakan sembahyang Jumaat,” katanya.

Noorkumalasari diminta mengulas kekecohan di luar surau di Austin Perdana, Johor Bahru pada 5 Mac lalu.

Dalam kejadian itu, sekumpulan lelaki mengejar dan memukul seorang pemuda yang memandu kereta jenis Toyota Camry selepas dia dikatakan membunyikan hon berkali-kali.

Lelaki terbabit dipercayai berang apabila kedudukan kenderaan orang ramai yang mengerjakan sembahyang Jumaat diletakkan di jalan raya dan menghalang laluan.

Ekoran kejadian itu empat lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata kesemua mereka yang berumur antara 21 dan 55 tahun itu ditahan di depan surau berkenaan pada pukul 1 pagi 6 Mei lalu.

Katanya kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Noorkumalasari berkata tindakan membunyikan hon berulang kali ketika orang Islam menunaikan sembahyang Jumaat memang boleh mencetuskan kemarahan meluap-luap, namun ia perlu dikawal dengan waras.

Lagi sabar, lagi banyak pahala

Namun kata penyanyi dan pelakon itu, sebagai orang yang beriman, sikap mudah naik angin perlu dibendung tidak kira bagaimana tertekannya sesuatu situasi itu.

“Sebagai orang yang dididik dengan agama, kita kena faham bahawa sabar adalah separuh daripada iman.

“Kamu boleh selesaikan masalah secara baik walaupun dia seorang berlainan agama,” katanya.

Noorkumalasari atau nama penuhnya Noor Kumalasari Mohamed Taib, 61, ditemui pada majlis tayangan perdana program Salam Ramadan Kosong Kosong Astro di Kompleks Kraf di Jalan Conlay, Kuala Lumpur semalam.

Pelakon filem Abang itu berkata, dia hairan bagaimana pemuda terbabit berada di tengah keadaan itu sedangkan sepatutnya sedar keadaan sekitar yang sesak setiap tengah hari Jumaat.

“Pemandu itu bersalah apabila mengganggu umat Islam sembahyang. Memang dia sendiri cari nahas, tetapi apa yang penting disedari oleh orang Islam ialah, bagaimana isu itu perlu ditangani dengan baik,” katanya.

Katanya, marah juga adalah antara ujian dan ‘hadiah’ diberikan Allah SWT kepada hamba-Nya.

Justeru, setiap penganut Islam akan berdepan pelbagai dugaan dan dengan kaedah yang betul, ia boleh membawa keuntungan.

“Itu adalah ujian, lagi kita bersabar dan dapat kawal rasa marah, lagi besar pahala kita dapat,” katanya.

– M’kini

.