‘MENGAPA MENYUSAHKAN BUKAN ISLAM DENGAN CUKAI TINGGI’ – WAKIL AMANAH SARAN KEDAI BERASINGAN UNTUK ARAK, ROKOK

Seorang ahli parlimen pembangkang menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan supaya arak dan rokok hanya dijual di kedai-kedai tertentu sahaja.

Dr Siti Mariah Mahmood (AMANAH-Kota Raja) berkata ini kerana pada masa ini, lesen minuman keras hanya diperlukan bagi kedai-kedai yang menjual arak seperti wain sedangkan produk berunsur malt seperti bir lebih mudah didapati di mana-mana kedai.

Dengan berbuat demikian, katanya, penguatkuasaan lebih mudah, dan juga boleh dipertimbangkan untuk kawasan di mana majoriti penduduk beragama Islam.

“Kalau boleh saya ingin mencadangkan dalam jangka masa panjang supaya barangan larangan ini diasingkan (dan) dijual di premis-premis tertentu sahaja,” katanya.

Walau bagaimanapun apabila Dr Izani Hussin (PAS-Pengkalan Chepa) mencadangkan supaya cukai ke atas minuman keras dan produk tembakau dinaikkan lagi, Siti Mariah tidak menyokongnya.

“Saya telah tengok cukai rokok dah naik. (Bagi) arak ini, (dibenarkan bagi) orang bukan Islam boleh, jadi kalau kita meningkatkan (cukai) kita akan menyusahkan mereka,” katanya.

Siti Mariah berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2017.

MKINI

.