MENGAPA MELAYU PERLU DAP?

Pemukiman selama tiga hari bersama Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP pada hujung minggu lepas memberi sedikit pengalaman kepada saya.

Saya berasa amat dialu-alukan dan saya gembira melihat aktiviti-aktiviti pemimpin muda menjalankan pelbagai kerja kemasyarakatan yang mampu menawarkan penyelesaian praktikal kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan miskin dan mereka yang memerlukan. Mereka terlihat amat berdedikasi dan sebahagiannya adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin muda Melayu.

Saya gembira, walaupun telah ditawarkan untuk menyertai DAP sejak lapan tahun lalu dan menolaknya, akhirnya telah membuat pilihan yang tepat. Seperti Steve Jobs pernah berkata, kita tidak perlu takut untuk terus menimba dan meneroka kerana apabila kita mengikut suara hati, kita akan menemui apa yang benar-benar kita mahukan.

Melayu hari ini sangat memerlukan  kepimpinan baru untuk membantu mereka agar setanding dengan bangsa-bangsa lain.

Selepas 60 tahun merdeka, Melayu lebih mempunyai pemimpin agama yang tidak mampu mengajar nilai-nilai berguna untuk membantu mereka dalam mempertingkatkan kehidupan. Mereka hanya diberitahu apa hukuman yang menanti apabila mereka mati atau mungkin mendatangkan rasa malu dalam kehidupan.

Dengan menggunakan hanya beberapa contoh, pemimpin-pemimpin agama terbukti tidak melakukan apa-apa untuk membantu menghentikan penyebaran HIV dan lain-lain penyakit kelamin. Mereka juga tidak melakukan apa-apa untuk mengurangkan penyalahgunaan dadah yang berleluasa dalam masyarakat.  Malah mereka tidak melakukan sebarang usaha untuk membantu beribu-ribu ibu tunggal. Mereka tidak menyelesaikan masalah. Mereka hanya tahu berdakwah dan mengajar.

Pemimpin politik Melayu secara umumnya adalah tidak berguna dan hipokrit. Mereka selalu melaungkan  “Pertahankan Raja-Raja Melayu,” tetapi mereka tidak pernah memberitahu orang Melayu apa sumbangan besar dan baik yang Raja-Raja telah lakukan selama ini.

Mereka menggesa orang Melayu untuk “mempertahankan Islam” tetapi mereka tidak peduli tentang ramai orang Melayu yang tidak boleh memberitahu perkara yang mudah selain betul atau  salah, baik atau buruk atau bagaimana penggubahan wang haram boleh bermula dengan sumbangan atau derma.

Mereka juga bercakap tentang “hak Melayu” tetapi kuota Bumiputera banyak dialihkan kepada yang tidak layak dan  tanah rezab Melayu pula dicuri  sepanjang masa.

Beberapa hari lalu, kira-kira 30 atau lebih peguam Melayu dan intelektual di bawah naungan Perkasa memutuskan bahawa adalah berbahaya bagi Perlembagaan Persekutuan untuk meletakkan prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai mukaddimahnya.

Orang Melayu seperti  hidup dalam dunia fantasi. Mereka tidak melihat  apa-apa di dunia nyata. Mereka teruja mengenai bahaya Rukun Negara, namun mereka tidak melihat bahayanya apabila kleptokrat sedang mentadbir negara.

Inilah yang dipanggil intelektual tetapi tidak mampu melihat Felda sedang dalam bahaya dan berada dalam  krisis kewangan, tidak nampak bahayanya apabila kuasa besar asing mula mengambil alih pelabuhan, kereta api dan projek perumahan di negara ini  sehingga ke tahap  tidak mampu membayar balik semua hutang-hutang itu.

Melayu memerlukan wadah baru untuk menebus pengaruh ideologi Taliban dan untuk membebaskan mereka daripada amalan  politik yang rakus dan korup.

Mereka memerlukan satu wadah baru yang boleh memberikan mereka kerajaan yang baik, pendidikan yang baik dan nilai-nilai yang baik untuk rakyat. Mereka semua perlu menyertai Pakatan Harapan supaya sebuah kerajaan baru dibentuk dan dapat membantu mereka mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

– Zaid.my

.