‘MENGAPA KJ BERSETUJU BAJU MERAH?’

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mengutuk tangkapan yang dibuat terhadap Pengerusi BERSIH , Maria Chin Abdullah di Langkon ketika dalam perjalanan ke Kota Marudu, Sabah semalam.

Pemuda AMANAH berpandangan, tangkapan ini adalah cubaan untuk menakut-nakutkan rakyat yang telah muak dengan pelan pihak-pihak berkepentingan yang cuba memanipulasi proses pilihan raya kelak untuk mengekalkan kepimpinan rasuah.

Pada masa sama tidak kedengaran khabar terbaru mengenai pelaku samseng baju merah yang telah memukul Pak Cik Kusaini seperti yang viral di media-media sosial baru-baru ini.

Adakah mereka sudah dihadapkan ke mahkamah? Hal ini sepatutnya diutamakan pihak berkuasa.

Dengan segala kekasaran yang dilakukan kumpulan samseng baju merah, Pemuda AMANAH berasa hairan bagaimana Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar boleh membenarkan anggota Umno menyertai kumpulan baju merah dalam kenyataannya kepada Astro Awani semalam.

Jelas beliau tidak konsisten dan bersetuju dengan tingkah biadab kumpulan baju merah.

Justeru kami menuntut agar pihak berkuasa lebih adil dalam menangani mood perubahan rakyat.

Keselamatan rakyat dalam memperjuangkan proses pilihan raya yang adil dan bersih jauh lebih penting daripada tangkapan-tangkapan politik sebegini.

WRITER: SANY HAMZAN ketua Pemuda AMANAH merangkap pengarah mobilisasi parti berkenaan