‘MENGAPA KEHILANGAN AMRI DIKAITKAN DENGAN SYIAH?’

Pemimpin Syiah Malaysia Mohd Kamilzuhairi Abd Aziz berkata beliau perlu mendapatkan kesahihan dahulu sebelum mengulas isu mazhab itu yang dikaitkan dengan kehilangan pengasas Perlis Hope Amri Che Mat.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan mengapa isu Syiah ditimbulkan sekarang selepas lebih setahun kehilangan Amri.

“Baru sehari dua ini saya lihat (kehilangan Amri) dikaitkan dengan Syiah, walaupun kehilangannya sudah lebih setahun.

“Jadi saya kena pastikan kesahihannya terlebih dahulu. Perlu jumpa pelbagai pihak dan kena periksa dulu. (Isu kehilangan) juga dikaitkan dengan pihak tertentu,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas kehilangan Amri yang dikaitkan dengan mazhab itu yang difatwakan sesat di Malaysia.

Ia selepas Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengesahkan kenyataan isteri Amri, Norhayati Ariffin bahawa mufti Perlis itu bersama-sama lebih 20 polis dan pegawai Pejabat Mufti dalam serbuan ke rumahnya pada 21 Oktober 2015.

Mohd Asri menyiarkan beberapa gambar yang dikatakan daripada serbuan itu, menunjukkan imej dan kalimah yang sinonim dengan mazhab Syiah, seperti kain pemidang bertulis “Ya Husein” (cucu Nabi Muhammad dan Imam ketiga Syiah), buku tentang Karbala dan “turbah” (atau batu Karbala yang digunakan sesetengah penganut Syiah ketika sembahyang).

Namun Mohd Asri dilaporkan menafikan mempunyai apa-apa kaitan dengan kehilangan itu.

Amri kali terakhir dilihat isteri dan keluarganya pada 24 November, 2016.

Menerusi video yang dimuatnaik di laman Facebooknya hari ini, Asri berkata mengadakan pertemuan dengan Amri di pejabatnya sehari selepas serbuan itu.

Dalam pertemuan itu, kata Asri, beliau memberitahu Amri yang pihaknya bebas untuk mengamalkan ajaran Syiah asalkan dibuat secara tertutup.

– M’kini

.