MENGAPA HARAPAN YAKIN AKAN ADA K’JAAN BARU

l Malaysia akan mempunyai kerajaan baru sekiranya Umno kalah 40 kerusi di Semenanjung Malaysia kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Jika 50 peratus pengundi Melayu memilih HARAPAN, pakatan pembangkang malah akan menubuhkan kerajaan dengan dua per tiga majoriti. Ini adalah realiti.

Justeru, saya terkejut dengan hakikat bahawa sesetengah penganalisis politik dan ahli politik enggan memahami dinamik pilihan raya dan demografik berkenaan faktor yang akan menentukan keputusan pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Klise politik dan realiti

Masalah paling besar di kalangan yang kononnya cerdik pandai ini adalah mereka suka mengulangi klise yang mereka sendiri tidak faham.

Sesetengah mereka tidak anggap pengundi Melayu akan menukar undi secara beramai-ramai.

Penilaian mereka ini menggunakan hujah bahawa meskipun pengundi Melayu mengundi pembangkang sebelum ini, tiada pertukaran undi yang ketara di kalangan pengundi Melayu yang tetap mengundi Barisan Nasional dalam dua pilihan raya umum yang lalu.

Dengan itu, mereka cuba menjustifikasikan teori mereka. Mereka melihat Sabah dan Sarawak sebagai agen perubahan dan bukannya Semenanjung.

Menurut perkiraan saya pula, perubahan di Sarawak tidak ketara kerana gambaran yang diberikan kerajaan Sarawak yang seolah-olah mengamalkan politik pro-autonomi, selain keadaan muka bumi negeri itu.

Sementara Sabah pula mempunyai situasi yang menarik. Pada PRU 2013, pembangkang cuma menang 3 kerusi parlimen. BN menang beberapa kerusi dengan kurang daripada 50 peratus undi popular yang disebabkan oleh pertembungan lebih daripada dua penjuru.

Kini dengan kehadiran Datuk Seri Shafie Apdal sebagai pemimpin pembangkang baru di pantai timur, serta mendapat sokongan dari kalangan Kadazan-Dusun-Murut, pembangkang sebenarnya mampu menang sehingga 10 kerusi parlimen.

Bagaimanapun, pertarungan utama masih lagi di Semenanjung.

Pertarungan rebut Semenanjung

Dalam PRU lalu, Umno menang 88 kerusi parlimen seluruh negara. Empat belas daripada jumlah itu adalah di Sabah dan satu di Wilayah Persekutuan Labuan.

Daripada 73 kerusi di Semenanjung, kira-kira 30 daripada jumlah itu merupakan kawasan parlimen yang sangat kecil, selalunya sama saiz dengan jumlah peneroka Felda, selain terletak di kawasan pedalaman.

Meskipun dengan pertukaran undi yang besar di kalangan pengundi Melayu, tidak mudah Pakatan Harapan memenangi kerusi-kerusi ini.

Lebih 40 kerusi yang lain adalah kerusi campuran dengan majoriti Melayu yang mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu yang agak besar menetap di kawasan itu. Kebanyakan kerusi ini terletak di kawasan separa bandar di mana sejumlah besar generasi mudanya tinggal di Kuala Lumpur dan kawasan metropolitan lain.

Pada PRU 2013, Pakatan Rakyat memenangi 80 daripada 165 kerusi. Ketika ini, PAS memegang 14 kerusi yang tidak lagi boleh dianggap kerusi HARAPAN. DAP pula kalah di Teluk Intan pada pilihan raya kecil pada 2014.

Ketika ini, HARAPAN memperoleh parlimen Pagoh melalui penyertaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam barisan pembangkang. Wakil HARAPAN keseluruhannya menyandang 66 kerusi di Semenanjung.

Cabaran pilihan raya untuk HARAPAN adalah untuk memenangi 100 daripada 165 kerusi di Semenanjung.

Sekiranya berjaya dicapai, ia bererti pertukaran undi yang besar di kalangan pengundi Melayu yang juga bereti pemilihan lebih ramai ahli parlimen Melayu berbanding bukan Melayu.

Kedua-dua situasi ini penting bagi berdepan cabaran selepas pilihan raya dalam penubuhan kerajaan yang stabil oleh HARAPAN.

Dengan kemenangan HARAPAN ke atas 100 atau lebih kerusi di Semenanjung, dengan 15 hingga 20 kerusi tambahan dikongsi bersama HARAPAN dan parti sekutu di Sabah dan Sarawak, ia dapat menjamin sebuah kerajaan baru ditubuhkan.

Mampukah HARAPAN menangi 100 kerusi di Semenanjung?

Meskipun tanpa mempertimbangkan kerusi di Kelantan dan Terengganu, sudah ada sekurang-kurangnya 40 kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti kecil di pantai barat Semenanjung yang boleh dimenangi HARAPAN. (Demi menjaga kepentingan strategi, saya tidak akan namakan kerusi-kerusi ini, namun pembaca boleh membuat kajian sendiri untuk mengetahui kerusi-kerusi ini.)

Kelompok 1 – Perlis/Kedah – 10

Kelompok 2 – Pulau Pinang/Perak Utara – 7

Kelompok 3 – Selangor Utara/Perak Selatan – 8

Kelompok 4 – Muar (Johor) – 5

Kelompok 5 – Johor Selatan – 6

Kelompok 6 – Pahang – 4

Kerusi di Perlis dan Kedah kebanyakannya adalah kerusi dengan majoriti besar Melayu. Dengan faktor Mahathir, Kedah akan mempunyai dinamiknya sendiri.

Kerusi marginal BN di pantai barat yang selebihnya adalah kebanyakannya mempunyai maksimum 65 peratus pengundi Melayu, yang bererti ia merangkumi jumlah pengundi bukan Melayu yang agak besar. Bagi kerusi pantai barat, faktor PAS boleh diabaikan.

Pertembungan tiga penjuru rugikan Umno

Saya sebelum ini berhujah bahawa Umno akan mendapati strategi pertembungan tiga penjuru akan menutup peluang Umno berbanding HARAPAN untuk menang di kerusi marginal.

Di kerusi campuran dengan majoriti Melayu, pengundi bukan Melayu lebih cenderung mengundi calon HARAPAN berbanding Umno atau PAS.

Sekiranya sentimen antikerajaan di kalangan pengundi Melayu ketika ini bertahan, sesetengah penyokong Umno dan PAS pada PRU 2013 akan turut mengundi HARAPAN.

Umno pula memerlukan penyokong setia Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengundi calon Umno berbanding memberikan undi kepada PAS di kerusi pantai barat yang mana PAS tidak mempunyai peluang untuk menang.

Tidak mengejutkan sekiranya dalam masa terdekat ini Umno yang akan mengarahkan agar strategi tiga penjuru tidak digunakan. Perdebatan tentang tiga penjuru ketika ini, termasuk di kalangan penyokong pembangkang, sebenarnya hanya membuang masa.

Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz masing-masing memberi amaran secara terbuka berkenaan strategi tiga penjuru yang mungkin merugikan Umno.

Difahami, kerusi Bagan Datok (kerusi Zahid) dan Padang Rengas (kerusi Nazri) merupakan kawasan pantai barat seumpamanya yang saya gambarkan di atas.

Kejutan lain buat Umno adalah apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan mesyuarat dengan pemimpin Umno Kelantan baru-baru ini di kediaman Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam mesyuarat itu, Najib diberitahu bahawa Umno Kelantan tidak berhasrat bertembung dengan PAS di setiap kerusi. Keengganan pemimpin peringkat negeri Umno untuk bekerjasama dengan PAS telah membantutkan strategi rapuh pertembungan tiga penjuru Najib.

Medan pertempuran separa bandar

Memandangkan HARAPAN (dan begitu juga sebelum ini Pakatan Rakyat) sebelum ini lebih berpengaruh di kawasan bandar, memahami jiwa pengundi separa bandar adalah penting bagi menjamin kemenangan pembangkang.

HARAPAN perlu mencipta pakatan pembangkang mesra rakyat yang berpotensi menang yang mampu menarik sekurang-kurangnya separuh daripada pengundi Melayu dan melonjakkan sokongan yang besar daripada bukan Melayu.

Saya tidak pernah kata ia kerja mudah. Apa yang saya kata adalah Umno dan BN kini sangat rapuh di kawasan separa bandar di pantai barat, iaitu kerusi campuran dengan majoriti Melayu yang dimenangi BN dengan majoriti tipis pada PRU 2013.

Dari satu sisi, kawasan-kawasan ini ibarat “Rust Belt” pembangkang, iaitu kawasan yang dulunya mempunyai industri yang pesat membangun namun kini terjejas akibat ekonomi.

Jika Umno kalah lebih kurang 40 kerusi ini dengan pertukaran undi yang memihak kepada HARAPAN, semestinya ia akan melahirkan sebuah kerajaan baru.

LIEW CHIN TONG adalah ahli Parlimen Kluang merangkap pengerusi DAP Johor.

– M’kini

.