MENGAPA HARAPAN PILIH AHMAD FAIZAL DI PERAK?

Dalam The Art of War, Sun Tzu, seorang genius dalam ketenteraan menulis bahawa “jika kamu mengenali musuh dan diri sendiri, kamu tidak akan gentar menghadapi seratus pertempuran.”

Pendekatan ini nampaknya diguna-pakai oleh Pakatan Harapan dengan menyerahkan tugas merampas negeri-negeri yang menjadi kubu Umno, khususnya di Johor, Perak dan Kedah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Strategi menumbangkan Umno di dua kubu kuat parti pemerintah itu diserahkan kepada dua ‘jeneral’ BERSATU – Tan Sri Muhyiddin Yassin di Johor dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Kedah.

Kedua-dua bekas pemimpin berpengalaman itu disebut-sebut mampu menggunakan segala pengalaman dan kepakaran mereka ketika bersama Umno untuk mengubah keadaan dan sokongan kepada HARAPAN.

Namun, pemimpin yang diamanahkan untuk menerajui kempen di Perak, pengerusi BERSATU negeri, Ahmad Faizal Azumu, tidak pernah mempunyai pengalaman sedemikian.

Sumber HARAPAN memberitahu Malaysiakini bahawa BERSATU bukanlah pilihan utama ketika rundingan pemimpin dan parti mana yang seharusnya menerajui di Perak.

Pada mulanya, tumpuan adalah antara PKR, AMANAH dan BERSATU.

Kedua-dua AMANAH dan PKR masing-masing mempunyai pengalaman bertanding di Perak – dalam kes AMANAH ini melalui PAS – pada pilihan raya 2013, dengan kedua-dua parti masing-masing bertnding 21 dan 20 kerusi DUN.

Bagaimanapun kedua-dua PKR dan PAS, masing-masing hanya memenangi lima kerusi sahaja.

Oleh itu, dalam usaha untuk mengubah nasib pembangkang pada pilihan raya akan datang, mereka yang biasa dengan rundingan HARAPAN memberitahu bahawa gabungan itu sebulat suara memutuskan bahawa Ahmad Faizal sewajarnya memimpin di negeri itu.

Meskipun Ahmad Faizal tidak pernah bertanding dalam pilihan raya, beliau mempunyai pengalaman politik yang meluas, termasuk mendapat pujian daripada sekutunya.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata, Ahmad Faizal membuktikan kemampuannya dengan menyatukan BERSATU negeri daripada berpecah akibat masalah dalaman parti itu pada awal tahun ini.

Sebagai bekas Ketua Pemuda Umno Ipoh Barat, Nizar berkata, Ahmad Faizal juga tidak akan dibelenggu dengan tuduhan menjadi macai atau boneka suruhan DAP – strategi Umno yang turut memberi kesan kepada pemimpin AMANAH itu sendiri.

“Ini akan mematahkan serangan Umno terhadap HARAPAN… hujah-hujah (mengenai menjadi macai atau boneka suruhan DAP) tidak akan berkesan dengan Ahmad Faizal dan BERSATU,” kata Nizar kepada Malaysiakini.

DAP adalah paarti pembangkang yang dominan di Perak dengan memenangi 18 kerusi pada 2008, dan sekali lagi dengan jumlah yang sama pada tahun 2013.

Bagaimanapun bagi mengelakkan ‘tabu’ atau ‘pantang’ parti yang didominasi oleh kaum Cina menerajui Perak, DAP bersetuju membenarkan rakan-rakannya mengambil alih. Ini sebaliknya menyaksikan Nizar dilabel sebagai sebagai boneka parti itu pada tahun 2008.

Sementara itu, ketua DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, Ahmad Faizal mempunyai tarikan kepada pengundi yang secara tradisinya bersekutu dengan Umno, kerana beliau adalah anak seorang bekas senator serta menantu seorang bekas ADUN Umno.

“Sebagai bekas kakitangan awam, beliau juga memahami sentimen penjawat awam dan mampu memikat sokongan daripada penjawat awam dan masyarakat Melayu, yang penting bagi HARAPAN untuk menawan semula Perak,” katanya.

Sementara Harapan menaruh kepercayaan penuh kepada Ahmad Faizal, sama ada pengerusi BERSATU Perak itu adalah calon menteri besar, masih belum ditentukan.

Menurut sumber dalaman, mereka yang dilantik sebagai pengerusi HARAPAN tidak semestinya menjadi orang yang bakal mengetuai pentadbiran negeri sekiranya BN ditumbangkan.

– M’kini

.