MENGAPA HADI TAK BERANI SEBUT ADA PENYANGAK JUGA DALAM UMNO?

Untuk kesekian kalinya dan bukan pun berita baru, Presiden Pas, Hadi Awang sekali lagi menegaskan bahawa parti itu itu tidak akan bekerjasama sama ada dengan BN mahupun Pakatan Harapan.
Menolak UMNO dan BN, ini hujah yang diberi oleh Hadi:-
Pas tidak boleh bersama kerajaan yang dituduh, sehingga dibuktikan bersihnya atau kesalahannya. Kaedah Kehakiman Islam yang dipakai oleh barat, menetapkan pihak yang yang dituduh masih bebas dan tidak boleh dihukum bersalah, selagi tidak dibuktikan kesalahannya oleh mahkamah, bukan oleh media tanpa sempadan.
Pas juga tidak boleh terus berpihak sebelum dibuktikan bersihnya, khususnya dalam keadaan yang bergelumang dengan salah laku dan kelemahan urus tadbir yang telah diwarisi oleh pemimpin dahulu dan terdahulu.
Menolak Pakatan Harapan, Hadi memberi hujah demikian pula:-
Pas tidak boleh memberi harapan kepada Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pendakwa atau mengaku menjadi peguam kepada mangsa kezaliman, kerana di dalamnya ada juga pemimpin penyangak yang dahulu dan terdahulu bersekongkol dengan punca masalah negara, dan tuduhan sama yang bertali arus laksana mata rantai atau biji tasbih yang dibilang setiap kali berwirid.
Di sana pula ramai kalangan yang tidak boleh menjadi saksi yang adil mengikut perhitungan Islam yang menjadi pegangan Pas.
Cuba bandingkan kedua-dua Hadi itu?
Kenapa begitu lemah-lembut, hati-hati dan penuh helah dalam hujah untuk menolak UMNO dan BN berbanding alasan yang diguna kepada Pakatan Harapan?
Dalam Pakatan Harapan sajakah yang ada penyangak dan golongan tidak boleh menjadi saksi?
Apakah dalam UMNO dan BN semuanya suci, tiada penyangak dan kalau pun ada kesalahan yang ditimbulkan, maka ia perlu dibuktikan terlebih dahulu?
Adakah asasnya menuduh penyangak dan melabel mereka yang tidak boleh menjadi saksi dalam Pakatan Harapan itu serta pernahkah ia dibuktikan di mana-mana mahkamah sebelum ini?
Tidakkah skandal yang berlaku dalam UMNO dan BN di bawah kepimpinan Najib Razak sehingga menjadi sebutan seluruh dunia membuktikan penyangak dalam kerajaan sekarang lebih ramai dan maha hebat berbanding dahulu?

Kenapa Hadi masih tak berani menyebut ada penyangak sedang berleluasa dan bermaharajalela, meskipun ia sangat jelas di depan matanya?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.