MENANGANI KEJATUHAN DAYA SAING

MINGGU lalu kita bertanya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai kedudukan sebenar pengaliran keluar-masuk modal.

Antara punca kemusykilan kita ialah amalan sesetengah pelabur asing meminjam modal daripada institusi kewangan tempatan untuk membangunkan projek mereka.

Bagi kebanyakan kita, apabila kerajaan menghebahkan sekian banyak projek pelaburan asing diluluskan, fahaman kita ialah modal asing mengalir masuk membiayainya.

Jadi apabila tersiar berita mengatakan syarikat pemaju hartanah Indonesia, Mulia bercadang meminjam RM1.8 bilion daripada bank-bank tempatan bagi membangunkan menara singature di kompleks kewangan TRX, Jalan Tun Razak, kita kehairanan.

Kemusykilan kita belum terjawab. Sebalik saya mendengar ada percubaan memaksa bank-bank tertentu dalam sektor Bumiputera-Islam untuk memberi pinjaman tersebut walaupun mereka keberatan.

Selain itu, kita juga tahu bahawa sebanyak lebih kurang 10 buah syarikat negeri China telah mengumpul modal di negara kita dengan melakukan pengeluaran awam permulaan (IPO). Tetapi harga saham mereka merudum apabila diniagakan di Bursa Malaysia. Ada yang jatuh melebihi 80 peratus dan mengalami pelbagai masalah berkaitan perakaunan.

Sekarang timbul pula kemusykilan baru yang juga melibat isu pelaburan. Pada 28 September lalu, agensi Berita Nasional, Bernama melaporkan bahawa daya saing global kita merosot tujuh anak tangga dari 18 kepada 25 bagi tahun 2016/17.

Penarafan ini dikeluarkan oleh World Economic Forum (WEF) yang berpangkalan di Switzerland. WEF diakui sebagai salah sebuah badan bebas yang berwibawa dalam kegiatan menggalakkan kerjasama ekonomi antara sektor awam dan swasta.

Setiap tahun, sejak 2004, ia mengeluarkan laporan bertajuk Global Competitiveness Report yang mengukur daya saing negara-negara di dunia. Satu lagi kegiatannya ialah menganjurkan Forum Ekonomi Dunia setiap tahun di Davos, Switzerland.

Dalam kaji selidik 2016/17, ia meletakkan Malaysia di anak tangga ke-25, jatuh dari 18 dalam kalangan 138 negara dan wilayah yang disenaraikan. Walaupun kedudukan ke-25 itu boleh dikira tinggi, tetapi kejatuhan mendadak itu memerlukan perhatian.

Di kedudukan itu, Malaysia masih berupa negara paling tinggi daya saingnya dalam kalangan negara membangun Asia dan negara Islam teratas selepas Qatar (nombor 18) dan Emeriah Arab Bersatu (16).

Dalam kata-kata pujiannya, WEF, antara lain, menyebut: “Dalam kalangan ekonomi membangun, Malaysia terus mendahului negara-negara serantau dengannya, walaupun mengalami kemerosotan selepas enam tahun kemajuan.” WEF membuat notasi yang Malaysia perlu memperbaiki urus tadbir (governance) dan memerangi rasuah.

Bernama memetik Mustapa sebagai berkata, adalah penting untuk diambil perhatian bahawa semua negara yang berada di kedudukan di atas Malaysia adalah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Benar kata Mustapa itu. Yang menjadi persoalan sekarang ialah bukan saja penarafan (ranking) kita jatuh tujuh anak tangga tetapi WEF juga mempersoalkan piawaian urus tadbir serta pencegahan rasuah kita.

Ada 12 kriteria yang diambil kira oleh WEF bagi mengukur daya saing sesebuah negara iaitu institusi, prasarana, persekitaran makroekonomi, kesihatan dan pendidikan utama, pendidikan tinggi dan latihan, kecekapan pasaran komoditi, kecekapan pasaran buruh, pembangunan pasaran kewangan, kesediaan teknologi, saiz pasaran, kecanggihan perniagaan dan inovasi.

Kita terpaksa akui bahawa sejak setahun lalu, isu urus tadbir dan rasuah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) muncul sebagai faktor yang mencemarkan nama negara kita di persada antarabangsa.

Persekitaran makroekonomi kita juga lebih lemah daripada sebelumnya akibat faktor luaran dan dalaman. Ini mengakibatkan kadar pertumbuhan ekonomi kita jatuh.

Mengikut data Jabatan Perangkaan Negara, ekonomi kita berkembang pada kadar 4.0 peratus tahun ke tahun pada suku tahun berakhir Jun lalu, berbanding 4.2 peratus dalam suku tahun sebelum itu.

Sudah lima suku tahun atau 15 bulan berturut-turut, pertumbuhan ekonomi kita merosot. Kenaikan kadar kepenggunaan awam dan pertambahan perbelanjaan kerajaan gagal imbangi kejatuhan eksport.

Kesimpulannya, sebagai anggota kanan Kabinet dan teknokrat dilatih sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, Mustapa hendaklah berterus terang dengan rakyat dan memberikan nasihat yang realistik serta praktikal kepada kerajaan. Wallahuaklam.

– Sinar Harian

.