MENANG SEKINCHAN BARU LAWAN AZMIN, ADUN DAP SERU JAMAL

SABAK BERNAM, 1 Dis — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan menggesa Datuk Seri Jamal Yunos bertanding di kawasan itu sebelum berdepan menteri besar Selangor.

Ng Suee Lim berkata sebagai anak jati Sekinchan, Jamal seharusnya menunjukkan sokongan di tempat sendiri sebelum bertanding di DUN Bukit Antarabangsa.

“Sebelum beliau nak menentang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Bukit Antarabangsa, beliau mesti menang dulu di Sekinchan.

“Kalau Sekinchan pun kalah, macam mana nak ke Bukit Antarabangsa.

“Kalau hebat sekali pun, mungkin hanya atas kertas sahaja, tapi belum terbukti,” kata Adun DAP itu kepada Sinar Harian.

Jamal sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding menentang Azmin di Bukit Antarabangsa pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, hasrat itu sudah disampaikan kepada pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar dan pemimpin bahagian Ampang.

Suee Lim berkata Jamal perlu berdepan dengannya dalam PRU14 di Sekinchan bagi membuktikan sokongan ke Bukit Antarabangsa.

“Saya bersedia melawan beliau (Jamal) dalam PRU14. Saya menanti beliau, kalau Jamal tidak ada (bertanding) di DUN Sekinchan, hampalah saya.

“Kita serah kepada pengundi di Sungai Besar dan Sekinchan untuk membuat pilihan.

“Inilah masa yang sesuai untuk membuktikan bahawa beliau mendapat sokongan yang kuat,” katanya.

– http://www.themalaymailonline.com

.