Memorandum Deklarasi Rakyat: Tun M menghadap Agong sejam 15 minit

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan memorandum Deklarasi Rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam.

Menurut sumber, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menghadap Tuanku Abdul Halim di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

“Memorandum diserahkan pukul 4.30 petang dan pertemuan empat mata di antara Dr Mahathir dan Tuanku Abdul Halim berlangsung selama satu jam 15 minit,” kata sumber itu kepada Astro AWANI.

Menurut sumber itu lagi, Dr Mahathir bagaimanapun tidak mengulas atau mendedahkan sebarang butiran mengenai pertemuan tersebut.

Sebelum ini, Deklarasi Rakyat didakwa ditandatangani lebih 1.3 juta rakyat Malaysia dan digerakkan oleh beberapa bekas pemimpin UMNO, pembangkang dan badan bukan kerajaan untuk mendesak penyingkiran perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – http://www.astroawani.com/

.