MEMBELA DAN MEMPERTAHAN NAJIB ADALAH KERJA PALING SIA-SIA DI DUNIA

Untuk tujuan memikat hati, Najib Razak ketika tahun-tahun awal menjadi Perdana Menteri pada 2009, selain memperkenalkan slogan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang ditujukan buat seluruh rakyat, juga turut melaungkan peringatan “Rebah Jika Tak Berubah” khusus untuk UMNO dan BN.
Tentang 1Malaysia, yang yang terus tertonjol ke seluruh dunia sehingga sekarang hanyalah 1MDB, sebuah syarikat sarat hutang dan penuh skandal sehingga beberapa negara telah pun mengambil tindakan berkaitan penyelewengan dan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Selebihnya, apa yang tinggal?
Klinik 1Malaysia dikhabarkan hanya ada panadol saja, manakala Kedai Runcit 1Malaysia boleh dikatakan agak lengang, malah kedai runcit biasa lebih lengkap dan menawarkan banyak pilihan. Dihebohkan hanya sardin 1Malaysia yang jelas murah tapi sesuailah pula dengan rasanya yang tiada apa-apa.
Kedai Kain 1Malaysia pula dengar-dengarnya hanya indah khabar dari rupa. Begitu juga dari dari hubungan kaum, di sebalik 1Malaysia yang sepatutnya menyatukan semua bangsa, retorik-retorik bangsa untuk tujuan menang pilihanraya terus bebas berleluasa.
Sebab itu, bukan saja sebutan 1Malaysia tidak lagi kedengaran sekarang ini, malah Najib juga barangkali sudah lupa bagaimana menyebutnya.
Dalam konteks menuntut ahli UMNO segera berubah berikutan keputusan buruk pilihanraya 2008, Najib menyeru agar mereka berubah dengan memberi peringataan, “rebah jika tak berubah.”
Buat seketika ungkapan tersebut terdengar begitu mengasyikkan dan memperlihatkan Najib benar-benar seorang Perdana Menteri yang ikhlas mahu membawa perubahan dan memulihkan kekuatan UMNO dan BN, seterusnya dapat membela rakyat serta memajukan negara dengan lebih baik lagi.
Tapi apa jadi akhirnya?
Sementara beliau meminta orang lain berubah menjadi lebih baik dengan harapan UMNO dan kerajaan mendapat penerimaan positif daripada rakyat, beliau sendiri mengubah dirinya menjadi lebih buruk dan lebih banyak menjurus kepada negatif berbanding positif.
Pelbagai segmen pembaziran, suka bermewah, membeli-belah, karenah isterinya Rosmah yang tidak terkawal, berlagak jadi First Lady, mengguna jet sesuka hati dan 1001 macam lainnya yang terdedah adalah antara sebab-sebab keputusan pilihanraya 2013 lebih buruk berbanding 2008.
Hakikatnya, di sebalik menyeru kepada perubahan dan memberi ingatan dengan ungkapan “rebah jika tak berubah”, Najib sendiri sebaliknya menunjukkan teladan buruk dengan tidak mahu berubah dan gagal sama-sekali mengajak keluarganya untuk sama-sama menjadi lebih baik.
Lebih dahsyat, di sebalik memberi amaran “rebah jika tak berubah” dan berlaku pelbagai perkara negatif lain, Najib juga membenarkan kemasukan wang RM2,600 juta yang menurut penyiasat antarabangsa adalah berpunca daripada dana 1MDB yang dilencongkan ke dalam akaun bank peribadinya hanya beberapa bulan sebelum pilihanraya 2013.
Mujurlah isu wang RM2,600 juta itu hanya terdedah pada 2015. Jika sebelum pilihanraya 2013 pdrkara itu sudah diketahui rakyat dan menjadi bualan, pastilah UMNO dan BN sudah benar-benar rebah sekarang ini disebabkan angkara Najib itu.
Kini, isu 1MDB dan wang RM2,600 juta terus menghimpit Najib, UMNO dan BN ke dinding yang semakin sempit berikutan ia sudah merebak dengan beberapa negara telah melakukan penyiasatan, ada yang mendenda dan menjatuhkan hukuman serta DOJ dalam proses merampas harta-harta yang dikaitkan dengannya.
Dalam keadaan sebegini buruk dan lebih ingin mempertahankan dirinya, Najib terus juga melakukan tindakan-tindakan menuju rebah dengan menukar Peguam Negara, memecat beberapa menteri, melemah dengan menukar dan melakukan kacau-ganggu terhadap beberapa agensi yang terlibat menyiasat 1MDB dan akhirnya semua yang terkait dengan skandal syarikat pelaburan itu tetap suci bersih jadinya.
Lebih dari itu, meskipun dikepit dengan skandal yang kian menghimpit dirinya, Najib tanpa segan-silu terus juga melakukan banyak perkara lain yang melukakan hati rakyat seperti terus bermewah, membazir, bercuti sesuka hati, mengenakan cukai baru, memotong subsidi, menChinakan Malaysia dan sebagainya.
Ia dengan sendirinya menunjukkan Najib memang tidak mahu berubah, bahkan hanya bertindak untuk menyelamatkan diri melalui kuasa yang ada padanya, sambil memuaskan kehendaknya sendiri.
Dalam sekian banyak isu yang timbul pula, Najib lebih suka memilih untuk berdiam diri daripada tampil memberi penjelasan. Daripada pendedahan DOJ bahawa Malaysian Official 1 menerima AS$731 juta dana 1MDB yang diselewengkan, membayar pelbagai pihak menggunakan wang SRC International, membayar peguam Shafee Abdullah RM9.5 juta sehinggalah kepada dakwaan isteri Malaysian Official 1 menerima perhiasan mewah dan barang kemas daripada Jho Low berjumlah RM128 juta, semuanya dilayan dengan berdiam diri dan membisu seribu bahasa.
Najib hanya bergantung kepada orang lain untuk bersuara sambil berharap sesuatu isu itu akan terpadam dengan sendirinya melalui peredaran masa atau jika muncul isu-isu lain yang lebih besar daripadanya.
Sementara rakyat terkesan susah dengan cara pemerintahan Najib, yang turut ternampak susah ialah mereka yang kerjanya siang malam mempertahan serta membela beliau. Ia termasuk para pemimpin UMNO, menteri dan para pejuang lain sama ada di lapangan setiap hari bertemu rakyat, di media arus perdana atau media internet di mana setiap salah laku, pembaziran, kemewahan, rantai cincin, barang kemas, percutian dan segala-galanya termasuk Jho Low dan Riza Aziz pun kena dipertahankan sama.
Oleh kerana Najib tidak mahu berubah, maka isu mengenai diri, keluarga dan kroninya juga akan muncul silih berganti. Lepas satu, satu yang lain pula akan muncul. Setiap isu yang muncul tidak pernah dihadapi atau cuba dijelaskannya dengan penuh keyakinan.
Berbeza dengan Tun Mahathir, sama ada ketika menjadi Perdana Menteri atau selepas bersara, beliau sama-sekali tidak pernah lari daripada masalah dan sedia memberi penjelasan yang meyakinkan kepada setiap isu yang timbul. Kuncinya ialah beliau tiada skandal peribadi dan tidak mencuri untuk diri sendiri.
Bagi yang diberikan ganjaran lumayan, jawatan besar atau projek-projek mega, mungkin tindakan membela dan mempertahankan Najib itu agak berbaloi, walaupun perbuatan itu lebih merosakkan negara dan bernilai kosong dari segi perjuangan. Mereka yang berkenaan bukan lagi berjuang untuk kepentingan rakyat dan negara, sebaliknya hanya untuk melindungi kesalahan Najib semata-mata.
Tetapi, bagi yang sekadar diberikan elaun seciput wang saku, duit raya setahun sekali dan telefon bimbit A9 untuk kerja-kerja membela dan mempertahankan Najib, ia tidak syak lagi adalah kerja paling sia-sia di dunia.
Bukan saja kerja membela dan mempertahankan pemimpin yang bersalah dan ada skandal itu tiada pahala, tetapi melakukannya secara berterusan dan berulang-ulang sepanjang masa jelas hanya membuang masa memandangkan Najib yang dibela dan dipertahankan, bukan saja tidak menunjukkan kecenderungan untuk berubah, malah terus dengan perangai berdiam diri dan suka lari daripada masalah.
Najib mahu orang lain  membela dan mempertahankannya, sedangkan beliau sendiri gembira terus melakukan onar dan perkara-perkara yang menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan kian menipis.

Selepas satu isu dibela, kemudian muncul lagi isu lain, ia  juga dibela, seterusnya ada lagi isu muncul, di bela lagi dan begitulah seterusnya seolah-olah tiada penghujung dan tidak ada pengajaran atau keinsafan yang melekat di jiwanya, sedangkan kalau Najib dan keluarganya sedia berubah sebagaimana yang dislogankannya “rebah jika tak berubah” itu, tidaklah sampai begini susah, sia-sia dan membuang masa untuk mereka membela dan mempertahankannya.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.