MEMBEBASKAN ANWAR IBRAHIM

Saat saya mengarang artikel ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim genap dipenjara dua tahun di Sungai Buloh. Beliau terpenjara dek kerana kezaliman yang merekayasa Fitnah II dengan niat dan tujuan untuk menamatkan riwayat politiknya.

Semenjak 10 Februari 2015, sehinggalah ke hari ini, usaha dan pelbagai kempen untuk membebaskan beliau telah dilakukan sama ada dalam mahupun luar negara; oleh keluarga, sahabat, penyokong, aktivis, NGO dan parti politik.

Tiada siapa dapat menafikan betapa perlunya ruang kepimpinan negara akan sosok tokoh bernama Anwar Ibrahim ini. Beliau bukanlah calang-calang ahli politik yang boleh diperleceh dan dilupakan begitu sahaja.

Ketokohan beliau, dengan dukungan dan harapan yang telah rakyat letakkan kepada beliau untuk membawa perubahan menjadi sumber kekuatan bak obor yang terus menyala bagi membakar perjuangan menuntut reformasi di Malaysia.

Anwar Ibrahim terus meletakkan tanda dan mencorak haluan landskap politik negara hari ini.

Anwar tiada di ‘luar’

Semenjak dua tahun Anwar tidak berada di ‘luar’, di lapangan bersama rakyat, parti dan penyokong – pelbagai perkara telah kita lalui.

Ia bermula dengan pemergian Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, putusnya hubungan DAP dan PAS hingga membawa kepada tamatnya riwayat Pakatan Rakyat, serpihan PAS mewujudkan AMANAH sehinggalah termeterai perjanjian Pakatan Harapan dan terdedah seluas-luasnya pekung rejim pemerintah dengan skandal 1MDB.

Begitu juga dengan kontroversi melibatkan agensi berkaitan pemerintah (baca: MARA, Felda, PERDA, dan lain-lain).

Dalam suasana muram dan masih ‘luka-luka’ itu, tanpa diduga, satu kekuatan dan suntikan semangat yang baru muncul.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang sebelumnya telah disingkir dari jawatan mereka, telah tampil bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan pimpinan pembangkang lain (dari PAS dan Pakatan Harapan) untuk memeterai apa yang dipanggil Deklarasi Rakyat.

Sejuta tandatangan rakyat Malaysia dikumpul mendesak peletakan jawatan perdana menteri dan menuntut reformasi institusi di negara ini telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Lebih bersejarah apabila Mahathir sendiri telah hadir ke mahkamah untuk menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim.

Detik bersejarah yang terakam ini ibarat menjadi pemangkin kepada penyusunan kekuatan baru untuk pakatan pembangkang, lebih-lebih lagi dengan tertubuhnya parti pecahan daripada Umno – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Di pentas pilihan raya juga, tidak kurang rancaknya apabila kita berdepan dengan pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Keputusannya tidaklah seperti yang kita harapkan apabila tidak banyak pencapaian membanggakan yang dapat kita rakam.

Bahkan telah berulang kali ditunjukkan bahawa rakyat tidak memilih kita bilamana berlaku pertembungan sesama kita yang menyumbang kepada pertandingan tiga penjuru; antara PKR dan DAP di Sarawak dan antara PAS dan Pakatan Harapan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Rakyat menghukum kita dengan tidak memberikan kemenangan kepada kita. Ini semua berlaku dalam tempoh tidak sampai dua tahun Anwar Ibrahim dipasung dalam penjara Sungai Buloh.

Merealisasikan #BebasAnwar

Usaha dan kempen untuk membebaskan Anwar tidak pernah surut. Perlawanan ke atas pemenjaraan Anwar Ibrahim ini adalah satu bentuk penentangan terhadap kezaliman dan kebobrokan sistem yang dipelopori oleh Umno dan rejim Najib Razak.

Namun akhirnya, kita wajib bertanya kepada diri sendiri (waima sebagai rakyat, mahupun penyokong dan aktivis parti politik), apakah cara yang paling logik, rasional dan mungkin untuk dilaksanakan bagi membebaskan Anwar?

Jawapannya mudah – menang Putrajaya dan bentuk kerajaan baru.

Kemenangan pakatan pembangkang ini kelak adalah yang akan membebaskan Anwar Ibrahim daripada terus dikurung di dalam penjara.

Kemenangan di Putrajaya nanti akan membolehkan perdana menteri yang baru untuk mempersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong, satu permohonan pengampunan diraja untuk Anwar Ibrahim.

Malangnya laluan ke arah memungkinkan strategi ini adalah satu jalan yang tidak mudah, penuh dengan ‘duri’, ‘liku’ dan ‘ranjau’.

Memenangi Putrajaya

Tidak sedikit di kalangan pimpinan dan penggerak parti pembangkang yang berkehendakkan sebuah pakatan pembangkang; kerjasama politik atau grand coalitionyang terdiri daripada semua parti politik pembangkang untuk berhadapan dengan rejim Umno-BN.

Namun begitu ada juga segelintir yang terus mengatur rencana untuk menggagalkan usaha ini, sama da mereka dari rejim pemerintah atau yang telah ‘dibeli’ rejim dengan wang, propaganda dan mungkin juga janji-janji habuan.

Usaha jahat ini pastinya untuk menggagalkan langkah pakatan pembangkang untuk membentuk satu kerjasama politik yang utuh dan mampu berdepan dengan rejim BN.

Sejarah politik pembangkang negara telah acap kali membuktikan bahwa formula terbaik untuk berdepan BN adalah dengan memberikan perlawanan satu lawan satu di setiap kerusi parlimen dan DUN.

Kekuatan BN juga adalah apabila mereka mampu untuk bertanding satu logo dan hanya meletakkan satu calon dengan mewakili setiap parti komponen mereka.

Kesatuan pembangkang telah dibuktikan beberapa kali berjaya mencapai kemenangan sama ada kecil mahupun besar.

Semangat 46 yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah dengan kerjasama Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat membolehkan PAS memerintah semula di Kelantan.

Barisan Alternatif yang dianggotai Parti Keadilan Nasional, PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia menabalkan PAS sebagai kerajaan di Terengganu.

Kemudian kerjasama pada 2008 membolehkan pembangkang membentuk kerajaan negeri di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Formula kesatuan ini diteruskan Pakatan Rakyat dan mencapai kemuncaknya apabila undi popular yang dimenangi kita pada PRU13 mengatasi jumlah undi BN sebanyak 52 peratus.

Sama ada kita sedar atau tidak, kita semua, di kalangan parti pembangkang pernah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dan bergerak seiring dan sederap untuk berhadapan BN.

Anwar Ibrahim memimpin kita dahulu dan berjaya menyatukan kita semua. Formula satu lawan satu adalah senjata ampuh untuk melawan Umno-BN. Rakyat juga menginginkan itu.

Apabila mereka ke pusat mengundi nanti, atas kertas undi, apa yang dipangkah bukanlah ‘logo parti’.

Rakyat tidak mengundi parti politik sama ada PKR, PAS, DAP, BERSATU atau AMANAH; yang dipilih adalah siapa yang mereka yakin mampu untuk menjadi sebuah kerajaan yang boleh mereka letakkan kepercayaan.

Inilah tugas kita – meyakinkan rakyat bahawa kita ini benar-benar mampu menjadi kerajaan di Putrajaya. Kita harus bertindak seperti kerajaan yang dinanti-nantikan.

PKR harus terus komited menjadi orang tengah untuk menjayakan usaha ini dan menjadi peneraju di peringkat nasional dengan ketokohan kepimpinan Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Ismail dan Azmin Ali.

DAP pula terus fokus mempertahankan undi dan sokongan besar terutama di kalangan pengundi Cina, bukan Melayu dan bandar serta terus komited mengambil pendekatan sederhana, terutamanya apabila berdepan soal isu Islam dan Melayu.

Ini agar dapat dipecah stigma di kalangan masyarakat Melayu-Islam terhadap mereka.

AMANAH dan BERSATU walaupun pemain baru, namun pengalaman tokoh-tokoh mereka sangat penting dalam meraih sokongan di kalangan pengundi Melayu dan Islam (lebih-lebih lagi BERSATU yang mampu memecahkan monopoli undi Umno di kalangan masyarakat Melayu).

Kekuatan PAS juga tidak boleh dinafikan dan masih ada pimpinan di dalam PAS yang komited kepada agenda perubahan dan mereka juga mampu untuk terus memperkukuhkan sokongan pengundi Melayu dan Islam kepada pakatan pembangkang.

Rakyat mahukan pembangkang yang kuat dan satu hati. Titik bengik perbezaan di kalangan pimpinan tidak harus diperbesarkan lagi sehingga menjadikan kita terhijab daripada terus melihat kehendak dan tuntutan rakyat ini.

Kepercayaan rakyat adalah kunci kejayaan setiap parti politik di dalam ruang demokrasi. Jika kita gagal untuk raih kepercayaan rakyat, maka kita tidak akan ditabal sebagai pemerintah.

Kita akan gagal untuk melaksanakan agenda reformasi yang telah kita perjuangkan. Kita akan gagal untuk membebaskan Anwar Ibrahim.

Suara rakyat, suara keramat

Oleh itu saya menyeru kepada sekalian pimpinan pembangkang, mari kita mengambil masa sejenak untuk benar-benar memikirkan langkah kita ke depan ini.

Apakah wajar kita tidak mahu meletakkan soal emosi dan perasaan ke tepi lalu memberi ruang kepada kepentingan rakyat dan masa depan negara ini menjadi keutamaan?

Wajarkah lagi kita hanya memikirkan soal kepentingan peribadi kita dan kelompok kita sahaja? Harapan yang diletakkan rakyat ke atas kita semua, wajarkah kita khianati hanya kerana kita masih mahu mempertahankan ego kita sendiri?
Tuntutan dan perjuangan membebaskan Anwar Ibrahim ini adalah simbol kepada perlawanan kita berhadapan dengan kebobrokan dan kepincangan sistem yang diterajui rejim Umno-BN.

Rakyat hari ini sengsara berada di bawah pemerintahan Umno-BN. Suara kritik dibungkam, peluang ekonomi semakin menguncup dan hanya berlegar di kalangan elit pemerintah, kroni dan keluarga mereka.

Jurang antara yang kaya dan miskin semakin melebar.

Kos sara hidup yang terus meningkat dengan terlaksananya cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kegagalan Najib Razak dan BN untuk mengurus ekonomi negara dan betapa hancurnya imej negara dan keyakinan pelabur ke atas negara kita juga amatlah meresahkan.

Setiap dari kita pimpinan pembangkang wajib untuk terus menjadi suara kepada rakyat. Menjadi suara kepada anak muda yang menuntut peluang pendidikan berkualiti dan peluang kerjaya yang menjamin masa depan.

Menjadi suara kepada golongan miskin dan terpinggir yang mendambakan pembelaan. Menjadi suara kepada peniaga kecil, petani dan nelayan yang terus dihimpit dengan kesempitan, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu makan.

Menjadi suara kepada anak-anak kita yang bakal menjadi pewaris kepada masa depan negara ini nanti. Inilah yang seharusnya kita lakukan. Inilah yang dinamakan politik matang, politik baru untuk meraih sokongan dan dukungan dari rakyat Malaysia seluruhnya.

Kemenangan rakyat ke Putrajaya semakin hampir. Hanya tinggal sama ada kita mahu mengusahakan dan menumpukan segala tenaga dan fokus ke arah itu.

Menjadi suara rakyat dan buktikan kita (baca : pakatan pembangkang) benar-benar mampu menjadi ganti kepada BN dan akhirnya melaksanakan reformasi yang kita perjuangkan.

Bilamana berjayanya kita membebaskan Anwar Ibrahim kelak, bermakna ketika itu kita telah juga mempunyai kuasa untuk membebaskan rakyat daripada belenggu dan kesengsaraan hari ini dan membina masa depan yang lebih terjamin untuk generasi akan datang.
Bebas Anwar, bebas rakyat, reformasi selamatkan Malaysia.

– M’kini

.