MEMBAWA MAT TAIB MASUK UMNO MENAMBAHKAN LAGI HARI2 MALANG BUAT NAJIB

Membawa Muhammad Mohd Taib yang sudah “expired”  dan bukan lagi siapa-siapa masuk semula UMNO dengan sidang media khas dan  semua pimpinan utama parti serta kerajaan dipaksa hadir meraikannya, gambaran paling jelasnya ialah betapa terdesaknya Najib Razak ketika ini.
Bekas Menteri Besar Selangor yang banyak kontroversi negatif itu bukanlah orang lama yang masih berpengaruh seperti Tun Mahathir Mohamad yang tetap terserlah auranya di kalangan rakyat jelata.
Jika beliau berjalan-jalan di mana-mana atau di pusat membeli belah, tiada siapa memperdulikannya, jauh sekali ada yang mahu bergambar atau berselfie dengannya.
Ketika bersama Pas antara 2013 hingga 2015, beliau tidak pernah diberi peranan penting sama ada dari segi jawatan atau keperluan berceramah ke sana sini untuk menguatkan parti tersebut.
Malah, Tamrin Tun Ghafar lebih kerap dijemput ke merata-rata di seluruh negara untuk berceramah ketika beliau bersama Pas dahulu.
Begitu juga setelah menyertai PKR pada 2015, kedudukan Mat Taib tidak pernah dianggap penting dalam parti itu, waima dalam konteks Selangor dan membantu Azmin Ali sekali pun.
Maknanya Mat Taib benar-benar surat khabar lama yang tidak lagi dipedulikan oleh sesiapa.
Tetapi oleh kerana Najib begitu terdesak untuk melonjakkan nama dan memenangi pilihanraya….Mat Taib pun Mat Taib laa!!
Lantaran itu, ramai yang tidak dapat menahan ketawa apabila Najib sanggup meraikan Mat Taib seolah-olah beliau bintang lagenda yang punya peminat berjuta.
Tidak terkecuali, bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin turut merasakan, kemasukan semula Mat Taib ke dalam UMNO lebih sesuai disambut oleh Noh Omar atau Jamal Md Yunus saja, bukan oleh Najib dan seluruh pimpinan MT UMNO.
Tindakan Najib meraikan kemasukan Mat Taib bersama seluruh ahli-ahli MT UMNO tidak membuatkan bekas Menteri Besar Selangor itu kelihatan sebagai tokoh besar yang dinanti-nanti ketibaannya, sebaliknya lebih menjadikan Perdana Menteri dan semua pimpinan UMNO semakin kecil serta menuju kehilangan kuasa yang semakin nyata.
Najib seolah-olah lupa, jika pertemuannya dengan Presiden Amerika, Donald Trump dan kemudian menawarkan bantuan untuk mengukuhkan ekonomi negara tersebut pun gagal melonjakkan namanya di mata rakyat, tentulah tindakan membawa Mat Taib ke dalam UMNO lebih membawa kegagalan lagi, meskipun dengan mengadakan sidang media secara besar-besaran untuk cuba meraikannya.
Apa yang nyata, selain Mat Taib tidak mungkin ada sebarang aura untuk menyumbang kepada usaha yang boleh mengukuhkan kembali UMNO, malah pengaruhnya untuk membantu menawan kembali Selangor pun boleh dikata sudah tiada lagi.
Cerita tentang Mat Taib, negatifnya lebih banyak dan diingati berbanding kejayaannya. Pengundi-pengundi muda bukan saja tidak peduli, bahkan ramai yang tidak kenal dengannya.
Membawanya semula ke dalam UMNO hanya menyerlahkan  satu lagi hari yang malang buat Najib. Selepas kembali daripada bertemu Trump, takkanlah hanya Mat Taib yang mampu digamitnya.
Jika Najib sendiri terlihat seperti sudah hilang pedoman untuk mengukuhkan UMNO dan membuatkan dirinya diberikan sokongan, tentulah jauh lebih membuang masa kalau kita terus mahu mengekalkannya.