MEMANGLAH PM AKAN NAFI, KATA AZMIN

Tunggu dan lihat – itu janji Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, selepas perdana menteri menganggapnya berbohong dalam dakwaan peletakan jawatan seorang menteri kanan kabinet.

Ditemui media sebentar tadi, Azmin berkata, tidak mengejutkan apabila Datuk Seri Najib Razak menafikan ada anggota kabinetnya akan meletak jawatan.

Kata Azmin, maklumat mengenai peletakan jawatan itu disampaikan orang terbabit sendiri kepadanya baru-baru ini.

“Maklumat itu (datang) terus daripada orang yang berkenaan.

“Tunggu, kita akan umumkan,” kata Azmin.

Timbalan presiden PKR itu bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam amal Jaksa Pendamai (JP) Selangor di Klang, malam ini.

Turut hadir, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Beliau (perdana menteri) memang perlu menafikannya,” kata beliau.

Petang tadi Azmin membayangkan mengenai peletakan seorang menteri daripada kabinet Najib melalui catatan di Twitter.

Bagaimanapun ADUN Bukit Antarabangsa itu tidak memberikan sebarang bayangan mengenai identiti tokoh terbabit kecuali menyatakan dia adalah seorang menteri kanan.

Malam ini Najib menafikan ada menteri memaklumkan kepada beliau mahu meletak jawatan. Justeru, kata perdana menteri, beliau menganggap Azmin berbohong, kecuali menteri besar Selangor itu menyatakan nama menteri yang dimaksudkan.

Kenyataan Azmin malam ini sebaliknya menguatkan lagi khabar angin mengenai peletakan jawatan tersebut. Tambahan pula penegasan dibuat beliau bahawa maklumat berkenaan disampaikan terus kepadanya.

Setakat ini tidak dapat dipastikan mengapa peletakan jawatan itu akan diumumkan oleh pihak Azmin, kecuali – jika peletakan jawatan itu benar-benar berlaku – menteri terbabit memutuskan untuk menyertai pembangkang.

Menurut kenyataan di Twitter itu, Azmin mendakwa peletakan jawatan berkenaan ada kaitan dengan isu 1MDB.

“Benarkah ada seorang menteri kanan telah meletakkan jawatan? Khabarnya beliau tidak mahu bersubahat dengan 1MDB. Cuba ikuti perkembangan,” katanya.

– M’kini

.