MEMALI: BERANIKAH PAS TUNTUT RCI TELUS, MENYELURUH?

SHAH ALAM – Pemuda Amanah terus mempersoalkan kewajaran cadangan Pas berhubung penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat tragedi Memali.

Naib Ketua Pemudanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, antara yang dibangkitkan adakah Pas berani menuntut RCI yang telus dan menyeluruh, merangkumi aspek punca dan elemen-elemen asas yang mendorong ke arah tragedi tersebut.

“Pada hemat kami, keseluruhan aspek ini penting untuk disiasat, memandangkan pihak kerajaan telah pun membentangkan Kertas Putih Peristiwa Memali di Parlimen pada 1986,” katanya.

Shazni berkata, berdasarkan Perenggan 15, 16 dan 17 Kertas Putih tersebut, tragedi Memali dipercayai berakar daripada ketaksuban terhadap ‘Amanat Hadi’, merujuk kepada pidato Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Banggol Peradong pada 1981.

“Lebih spesifik pada Perenggan ke 17, Muhamad Yusof Husin mengakui dirinya berpegang teguh dengan amanat tersebut, dan berfahaman orang-orang Umno itu kafir, ” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, Pemuda Amanah juga berpendirian, jika RCI tersebut tetap mahu ditubuhkan, siasatan perlu melibatkan aspek-aspek penting, antaranya punca yang mendorong ke arah tangkapan Allahyarham Ibrahim Libya, punca menyemarakkan kegiatan takfiri ketika itu, keganasan tindakan polis, langkah kerajaan membendung fenomena takfiri dan kesan Amanat Hadi serta langkah pencegahan.

“Besar harapan kami agar RCI ini mampu meleraikan segala kekusutan dan tidak akan dibangkitkan lagi.

“Sejarah adalah tentang keteladanan dan iktibar daripada satu-satu peristiwa.

“Kami tekad agar tiada lagi episod takfiri, termasuklah pengulangan insiden ‘tanam jirat’ yang telah mencarik keharmonian rakyat.

“Kami tolak takfiri dan bina semula masa depan negara,” katanya.

– Sinar Harian

.