MELAYU NAMPAK, TAK MUDAH DIBELI, KATA DR MAHATHIR

MELAYU tidak akan mudah ditipu mahupun “dibeli” untuk mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, dakwa pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad.

“Kerajaan (BN) percaya Melayu akan sokong mereka kerana mereka kata Melayu ini mudah dibeli.

“Tapi saya rasa tidak, saya rasa kali ini Melayu akan tolak kerajaan hari ini,” katanya semasa sambutan Perayaan Ponggal di Kapar, Klang hari ini.

Bekas perdana menteri itu berkata, Melayu nampak apa yang kerajaan sekarang buat terutamanya dalam usaha untuk memecahbelahkan kaum melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Katanya, persempadanan semula itu hanya akan “memakan diri” kerajaan sahaja.

“Kita punyai pengalaman yang buruk. Kerajaan ini memisahkan mereka mengikut kaum.

“Mereka telah menarik kawasan persempadanan semula di Parlimen supaya boleh memisahkan antara Cina dan India,” katanya merujuk kepada persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tambah Dr Mahathir, bila kerajaan bertukar, kaum India dan Cina juga akan memain peranan penting membentuk Malaysia yang baharu.

Malaysia sentiasa dalam keadaan aman damai dengan kepelbagaian budaya, tambah Dr Mahathir lagi.

Dalam ucapannya itu, beliau turut mengkritik tindakan Putrajaya melalui SPR dalam persempadanan semula yang baharu.

“Malaysia merupakan negara berbilang kaum. Di tempat lain, kaum yang pelbagai ini akan mengundang begitu banyak konflik. Namun insiden keganasan yang berlaku di Malaysia sangat kurang,” katanya.

Dr Mahathir merupakan calon perdana menteri Pakatan Harapan andai gabungan pembangkang memenangi PRU14 kelak.

Sebelum ini beliau bermain “teka-teki” dengan berkata yang beliau mungkin akan bertanding di Putrajaya, Kubang Pasu atau Langkawi.

Dalam masa sama, Dr Mahathir “sempat” mencabar Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk bertanding dengannya di Langkawi.

“Suruh dia (Khairy) bertanding dengan saya,” katanya apabila ditanya wartawan.

Cabarannya itu merupakan reaksi terhadap Khairy yang mendakwa Dr Mahathir tak mungkin dapat bangunkan Langkawi kalau bukan kerana bantuan Umno dan Barisan Nasional.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.