MELAYU JOHOR JADI LEBIH KONSERVATIF

SATU kaji selidik dijalankan oleh badan pemikir Singapura mendapati kebanyakan Melayu di Johor jadi lebih konservatif dalam pandangan mereka, contohnya lebih suka seorang Muslim jadi pemimpin mereka dan sokongan semakin kuat untuk hudud, lapor Straits Times.

Kaji selidik dijalankan ISEAS-Yusof Ishak Institute Singapura itu mengkaji peranan Islam dan tadbir urusnya di Johor, dan keputusannya dikeluarkan pada 10 November.

Ia mendapati kebanyakan Melayu Johor lebih suka Muslim memegang kedudukan utama dalam barisan kepimpinan, tiga daripada empat menyokong pelaksanaan hudud sementara 57% mahu melihat kanun jenayah Islamik digunakan kepada semua, tanpa mengira agama.

Felo ISEAS, Norshahril Saat berkata konservatisme seperti itu sebelum ini dikaitkan dengan Melayu yang tinggal di negeri luar bandar seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, dan mengesahkan “pemikiran penggerak kebangkitan agama Islamik” kini meningkat di Johor.

Kaji selidik itu dijalankan terhadap 2,011 responden di Johor, terdiri daripada 1,104 (55%) Melayu, 758 (38%) Cina dan 149 (7%) India.

Ia juga mendapati 94% Melayu Johor bersetuju yang sultan ialah pelindung terbaik agama Islam di negeri itu, tetapi tidak bersetuju dengan pandangannya terhadap Arabisasi, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, dan Islamisasi.

Sebanyak 90% Melayu berasakan peningkatan keagamaan itu perkembangan yang positif, bercanggah dengan 79% dan 68% responden Cina dan India yang tidak bersetuju dengan kenyataan itu.

Keputusan kaji selidik itu dikeluarkan tidak lama selepas kekecohan mengenai dobi untuk Muslim saja di Muar, yang mencetuskan persoalan mengenai konservatisme semakin berkembang di negeri paling selatan itu.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar murka dengan tindakan pemilik dobi itu, dan pemilik berkenaan kemudian memohon maaf.

Sultan Ibrahim sebelum ini juga menegur mereka yang “mahu menjadi orang Arab” dalam budaya Melayu.

Respons Sultan Johor terhadap isu dobi Muslim itu juga mengundang kritikan daripada pendakwah kontroversi yang kemudian menyebabkan sultan mengarahkan pihak berkuasa agama Johor tidak lagi berurusan dengan Jakim.

“Keadaan ini tidak akan berakhir. Jika semuanya hendak diharamkan, lebih baik kita tinggal seorang diri dalam gua dan bukan bersama masyarakat,” katanya baru-baru ini.

Di sebalik pandangan sultan itu, ramai Melayu Johor masih cenderung ke arah konservatisme.

Seorang suri rumah yang tinggal berhampiran dobi untuk Muslim saja itu berkata dia akan disoal di akhirat kelak tentang tindakannya sebagai Muslim, dan bukannya sebagai rakyat Malaysia atau orang Johor.

Sharina Abdullah, 45, memberitahu Straits Times bahawa pemilik dobi itu hanya memberikan pilihan kepada umat Islam, dan bukannya rasis atau diskriminasi terhadap bukan Islam.

Pengerusi jawatankuasa masjid di Mersing, Musa Mahat, 50, berkata itu hak setiap orang untuk pilih bagaimana pakaiannya hendak dibersihkan.

Norshahril dari ISEAS berkata Melayu Johor, sultan dan ulama mungkin melihat pengaruh Arab dalam budaya Melayu secara berbeza, tetapi ia sikap eksklusif yang sesetengah orang ambil berhubung perkara itu.

“Sama ada anda Sufi, Wahabi atau Salafi, itu tidak penting. Ia sama ada anda ambil sikap eksklusif atau tidak, itu yang penting,” katanya.

“Kebangkitan eksklusif ialah sesuatu yang kita tidak boleh tolak ansur, terutama dalam memilih pemimpin berdasarkan agama mereka, bukan merit, sikap atau kemampuan.”

Rashaad Ali, penganalisis di Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) berkata sesetengah Melayu Islam akan sokong pelaksanaan hudud “semata-mata atas dasar ia Islamik dan identiti mereka sebagai Muslim mewajibkan mereka memberikan sokongan”.

Kaji selidik itu sebahagian daripada kajian dijalankan institut itu berkenaan trend sosial, ekonomi dan politik di Johor. Kaji selidik terdahulu pada 2013 tidak mengkaji agama tetapi melihat sikap terhadap tadbir urus dan ekonomi, Iskandar Malaysia dan Singapura.

– https://www.themalaysianinsight.com

.