MELAYU JADI PRESIDEN SINGAPURA TAHUN DEPAN

Singapura bakal mendapat seorang presiden daripada tokoh Melayu tahun depan.

Melalui pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong rakyat di republik berkenaan akan memilih beberapa tokoh di kalangan orang Melayu dalam pilihan raya presiden negara itu yang dijadual pada 2017.

Kata Lee langkah berkenaan dibuat sebagai satu daripada pembaharuan dalam sistem presiden negara tersebut.

“Maknanya jika seseorang calon Melayu layak bertanding, Singapura akan mendapat seorang presiden Melayu sekali lagi.

“Ini adalah kali pertama kita mendapat seorang presiden Melayu sejak lebih 46 tahun, selepas Yusof Ishak,” katanya dipetik akhbar Straits Times.

Melalui agenda reformasi itu Singapura bercadang memperuntukkan jawatan presiden negara berkenaan kepada sesuatu kaum yang tidak mendudukinya selama lima penggal berturut-turut.

Kata Lee langkah itu dibuat bagi memastikan kaum minoriti mendapat wakil mereka dalam kerajaan.

“Setiap rakyat – Cina, Melayu, India atau bangsa lain – perlu tahu bahawa seseorang dalam komuniti mereka boleh menjadi presiden, malah hakikatnya dari semasa ke semasa mereka memang menjadi presiden,” katanya.

Cadangan itu masih memerlukan kelulusan parlimen melalui pindaan perlembagaan namun dipercayai ia tidak akan berdepan masalah untuk diterima.

Singapura memiliki presiden daripada kalangan Cina dan India apabila sistem pemilihan secara langsung untuk jawatan itu dilaksanakan sejak 1991.

MKINI

.