MELAYU BUKAN BANGSA PENGEMIS

KITA sering kita disajikan dengan pelbagai kontroversi melibatkan bangsa. Kerencaman yang berakar, tumbuh bersama virus adu domba antara kaum yang ada.

Umum selalunya melihat kesucian pemuka perpaduan hingga terhijab dari sikap sebenar mereka yang menjadikan kemajmukan yang lompong sebagai alat terus kekal berkuasa dan memerintah.

Pernah dulu semasa penulis menuntut disebuah sekolah menengah di daerah Rompin, seorang guru sejarah masuk kelas dan membuat suatu pernyataan yang “melucukan”. Ditanya kepada kelas mengapa melayu masih kekal memerintah Malaysia hingga saat ini?

Penulis didalam benak fikir yakin yang guru tersebut akan menyebut kerana Perlembagaan Persekutuan sehagai jawapan kepada persoalannya. Rupanya keyakinan penulis jauh sekali meleset. Guru tersebut menjawab ia kerana adanya Umno. Tidak tahu mahu ketawa atau menangis

Tetapi penulis bangun dan memberi jawapan sebagai seorang yang sudah belajar tentang Pengajian Malaysia. Walau membangkang tidak bermakna hilang rasa hormat pada guru tersebut. Moga tuhan merahmati dan memberi kehidupan yang baik kepadanya.

Menyentuh hak dan keistimewaan orang melayu yang dimuatkan didalam naskah Perlembagaan Persekutuan tanpa menidakkan hak bangsa lain, ia sudah mampu memberi jawapan kepada ketakutan orang Melayu terhadap bangsa lain.

Lihat saja Perkara 153 yang dengan jelas menyebut tentang hak orang Melayu serta Bumiputera yang sukar dinafikan dan dipersoalkan umum jika berada di landasan yang benar.

Ditambah pula dengan Perkara 152 berkaitan bahasa kebangsaan turut menjadikan bahasa Melayu itu sebagai lingua franca di bumi Malaysia ini. Malah dalam perkara yang sama bahasa Melayu itu menjadi bahasa rasmi kepada negara.

Apakah ia masih mampu digugat oleh bangsa lain seperti yang dimomokkan oleh pihak yang setia dengan kelebihan perpecahan kaum? Begitulah cara pemerintah untuk kekal berkuasa. Mereka tidak malu memperkudakan ketenteraman rakyat hanya untuk kekal berkuasa.

Inilah yang dipanggil politik nihilsme. Fokus mereka bukanlah melahirkan sebuah negara dan modal insan yang punya jatidiri dan integriti yang tinggi, tetapi mereka hanya menjadikan manusia dengan lebih tepat dipanggil rakyat untuk taat dan wala’ pada pemimpin diatas walau mereka tahu sang pemimpin itu sebenarnya tukang korup nombor wahid dalam negara.

Realitnya tampuk pemerintahan Malaysia pasca kemerdekaan pada 1956 (proklamir Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah II di Bandar Hilir) sehinggalah pasca pembentukan Malaysia pada tahun 1963 dan kemudiannya hingga ke hari ini, negara ini dominasi kepimpinan adalah daripada bangsa Melayu.

Di dalam dominannya pemerintahan Melayu yang terbukti keabsahannya menerusi keenam-enam perdana menteri Malaysia sebelumnya dan yang semasa, Melayu antara yang terbanyak terlibat dengan pelbagai masalah. Baik dari segi ekonomi atau sosialnya walau sudah 60 tahun pembebasan atas nama kemerdekaan meninggalkan kita.

Jika dalam pemerintahan iaitu kekuasaan dipelopori bangsa Melayu, bangsa Cina lebih terkehadapan dalam bidang ekonomi. Lihat apa yang dikeluarkan oleh Forbes 2017 berkaitan hartawan dan jutawan Malaysia. Lima nama yang teratas semuanya bukanlah lahir ke dunia sebagai Melayu.

Mungkin ramai yang menganggap penulis sedang membawa khayalan pembaca untuk masuk ke lembah pertembungan rasis yang mungkin menimbulkan rasa kurang senang Melayu yang liberal dan bangsa lain.

Bagi pemahaman penulis, untuk mentadbir sesebuah negara, maka kerajaan bukan saja tertubuh hanya kerana sebuah entiti itu memiliki kuasa selepas memenangi pilihan raya. Tentunya kekuasaan itu perlu digabung jalinkan dengan kewangan yang kukuh bagi melicinkan projek mensejahterakan rakyat.

Namun, menjadi adat apabila sesebuah kerajaan itu terlalu lama memerintah, akan berlaku pelbagai kerosakan. Kekuasan dan kekayaan yang ada telah disalah ertikan oleh kedua pihak kerajaan dan juga pemilik syarikat gergasi.

Mereka lupa disana ada tanggungjawab hakiki dan tanggungjawab sosial yang perlu mereka layan dan tunaikan. Bukan terus menerus hanya memikirkan poket dan perut mereka semata. Konsep ini dahulunya diangkat oleh gemulah Abdul Razak Hussein melalui karya Revolusi Mental.

Mengesyorkan kepada masyarakat melayu ketika itu bahawa pengumpulan harta perseorangan itu mampu membawa kesejahteraan kepada seluruh masyarakat pada ketika itu. Uslub ini akhirnya menyebabkan yang bergelut mencari kekayaan ramai, tetapi yang kaya hanya seorang. Ini kerana mereka percaya kekayaan ketua itu membuktikan kekayaan kelompok mereka.

Justeru, kini sudah sampai masa dan detiknya seluruh masyarakat bawahan bangkit menegur sikap yang topengan bimbang nanti ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semuanya.

Bangsa Melayu yang majoriti bersama bangsa lainnya yang bernaung dibawah payung Malaysia akan terus terjerat dan melarat. Mimpi mengemis di negara sendiri bila-bila masa saja boleh bertukar menjadi realiti.

Melayu sejak kecil dibelai dengan manja oleh polisi dan dasar kerajaan. Tetapi tiba-tiba belaian itu direntap selepas mereka selesa berpuluh tahu lamanya. Melayu disuap segala macam perkara atas nama hak istimewa yang dijamin oleh Perlembagaan melalui kata-kata wakil penguasa.

Hari ini mereka dipaksa untuk merubah sebahagian rasa tenang dan senang mereka. Sudahlah rasa bahagia itu sebenarnya tidaklah memenuhi maksudnya, kini mereka dikerah jiwa dan pemikiran berubah hanya kerana melayan kesilapan pemerintah. Seumpama orang lain berbuat dosa, kita pula yang bertaubat untuknya.

Jika dulunya kita selalu mendengar Melayu ini kuli kepada bangsa lain dalam meneruskan kehidupan, yang paling benar dan tepat adalah melayu dibawah selama ini menjadi kuli kepada Melayu pemerintah. Kedurjanaan mereka hanya dikaburi dengan taburan habuan yang bersifat sementara.

Demi merahsiakan sisi kedurjanaan mereka, lalu disogokkan masyarakat dengan dongengan bangsa lain sedang berusaha untuk menakluki Malaysia sekali gus menindas orang Melayu yang ada dan merampas tanah milik Melayu.

Inilah sebenarnya belenggu dan dilema Melayu. Bukan kerana campur tangan bangsa selainnya, tetapi kerana pemikiran mereka telah lama diracuni dengan api perkauman dan api agama.

Melayu dan Islam pastilah sukar dipisahkan. Terkadang ada yang salah sangka bahawa perlakuan Melayu itu adalah tamsilan kepada Islam. Dan itu sudah tentu tidak benar. Asasnya adalah adil dan perlu diingat yang keadilan itu buta akan warna kulit, agama yang diimani dan rumah ibadat yang dimasuki.

“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Nabi Muhammad juga ada memuji sikap bantu-membantu dalam memajukan kaum atau puak sendiri, tetapi bersyarat iaitu tidak boleh mereka menzalimi komuniti yang lain.

“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Asabiyyah yang mahu disampaikan oleh Nabi Muhammad adalah sikap kepuakan yang akan lahirnya kezaliman serta membelakangkan kebenaran yang sekaligus menidakkan keadilan.

Mereka yang terkepung dalam fahaman asabiyyah ini seringkali akan bernada ekstrem dan fanatik.

“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah.” (Riwayat Muslim).

Konklusinya bangsa Melayu perlu bangkit dari ditindas oleh bangsa Melayu pemerintah. Jika mahu Melayu terus memimpin biarlah Melayu yang memimpin tidak menzalimi bangsa lain malah melayani mereka dengan keadilan.

Melayu dipilih kerana mereka punya merit dan iltizam yang tinggi dalam memastikan rakyat keseluruhannya terbela dan dijaga. Bait-bait lagu di bawah juga adalah bentuk doktrin untuk terus membiarkan Melayu melayan candu polemik kaum;

Anak kecil main api

Terbakar hatinya yang sepi 

Air mata darah bercampur keringat 

Bumi dipijak milik orang.

Nenek moyang kaya-raya 

Tergadai seluruh harta benda 

Akibat sengketa di antara kita 

Cinta lenyap di arus zaman.

Jangan hanya memekik melaung hidup melayu dihadapan bangsa Melayu bawahan, tetapi dibelakang kelak diratah hak milik Melayu yang mereka sendiri memberi ikrar untuk mengurus dengan amanah pada tanggungjawabnya.

Melayu bawahan akan merempat dan mengemis kerana punya melayu pemerintah yang korup nilai dan akhlak.

– https://www.themalaysianinsight.com

.