MEDIA SOSIAL JUGA DIBANJIRI #BERSIH5

SHAH ALAM –  Menggunakan #Bersih5, ruang media sosial juga turut dipenuhi pelbagai reaksi dari rakyat  Malaysia sama ada yang turun secara langsung mahupun sebagai key board warrior.

Pendek kata, macam-macam gelagat dimuat naik sama ada menggunakan akaun peribadi mahupun secara perkongsian, atau menerusi pautan daripada laman sesawang. Tidak kurang juga yang diambil dari akaun pengamal media mahupun individu tertentu.

Pelbagai ‘post’ dimuat naik sama ada menggunakan kata-kata sinis, mahupun berunsur perli dan tidak kurang juga yang menyokong perhimpunan tersebut.

Ada yang menyatakan pandangan positif dengan menulis #Bersih5 tidak patut dijadikan ikutan kerana akan menjejaskan imej negara.

Malah, ada juga yang tidak menyatakan pendirian secara langsung mengenai perhimpunan itu, tapi nadanya seperti, jangan bersifat rasis, ini bukan bangsa Melayu, ia adalah bangsa Malaysia, lawan untuk masa depan!.

Nada-nada sinis seperti saya miskin, tolong ajar saya bagaimana untuk mencuri berbilion, juga dinyatakan dalam sebuah akaun peribadi.

Selain itu, masih ramai juga yang memberi harapan agar #bersih5 berjalan dalam suasana baik, tanpa provokasi.

Ada juga beberapa suara dari akaun-akaun tersebut yang menyatakan sokongan secara terang-terangan dengan harapan Bersih 5 dapat menyatukan tenaga, untuk Malaysia baru.

Tidak terkecuali, warna kuning turut dijadikan bahan sinikal, apabila terdapat akaun menyamakan warna itu dengan satu insiden anak ayam berbulu kuning yang terlepas dari lori akibat kemalangan.

Terdapat juga akaun yang menyamakan kesesakan orang ramai berwarna kuning disamakan dengan satu babak (scene) dalam filem kartun Despicable 2.

Turut dijadikan bahan jenaka ialah kon pemberitahuan operasi mencuci berwarna kuning dikaitkan dengan #Bersih5.

Ayat seperti pembersihan sedang dijalankan, berhati-hati #Bersih5, walaupun tiada kaitan, tapi dijadikan bahan lawak oleh kerana kon tersebut warna kuning.

Tanpa disedari,  penyebaran informasi dalam media sosial menjadikan kita menerima maklumat lebih pantas walaupun tidak berada di tempat kejadian.

Masing-masing berani menyatakan pandangan, laporan yang disediakan pengamal media seolah-olah basi, berbanding daripada apa yang mereka miliki.

Dalam situasi ini, menggunakan #Bersih 5 juga ada yang mengambil kesempatan ‘berselfie’ dengan beberapa pemimpin pembangkang yang diminati.

Situasi sebegini bukan temasya yang dijamin aman sehingga ke penghujung. Namun rasa syukur kerana perhimpunan hari ini tidak mencetuskan pertembungan fizikal apabila seteru Bersih, kumpulan baju merah juga turut mengadakan perhimpunan.

Semoga rakyat Malaysia sentiasa dalam pertimbangan sewajarnya agar keamanan negara sentiasa dipelihara.

SINAR HARIAN

.