MEDIA SENARAIKAN BADAN DAPAT DERMA JHO LOW

Low Taek Jho, dilaporkan memberi sekurang-kurangnya AS$200 juta (RM859.6 juta) kepada badan amal yang ada kaitan dengan selebriti antarabangsa.

Menurut laporan New York Post, ketika Leonardo DiCaprio dan Miranda Kerr memulangkan hadiah yang diberi oleh ahli perniagaan kontroversi itu, pertubuhan amal terbabit tidak berbuat demikian.

Yayasan Leonardo DiCaprio misalnya, didakwa menerima “berjuta-juta dolar” daripada Low.

Penyanyi yang pernah memenangi anugerah Grammy, Alicia Keys, juga menerima wang daripada ahli perniagaan yang lebih dikenali sebagai Jho Low itu melalui pertubuhan diasaskannnya, Keep A Child Alive dan We Are Here Movement.

Berikut adalah senarai pertubuhan kebajikan didakwa menerima derma daripada Low:

  • Gabrielle’s Angel Foundation: Sebuah pertubuhan diasaskan oleh penyanyi Denise Rich yang membatalkan kewarganegaraannya di AS selepas Bill Clinton – ketika itu menjadi presiden – memberi pengampunan kepada mendiang bekas suaminya, Marc Rich, yang dikehendaki pihak berkuasa atas tuduhan lari daripada cukai.
  • Wild Cat Foundation – Panthera: Ditubuhkan pada 2014 oleh bilionair kelahiran New York Thomas Kaplan. Low didakwa menyerahkan sekurang-kurangnya AS$20 juta (RM86 juta) kepada yayasan terbabit.
  • Electrum Group LLC: Low dikatakan melabur AS$150 juta (RM644.7 juta) dalam syarikat yang turut dimiliki Kaplan dan menjadi anggota lembaga untuk seketika.
  • Pusat Barah MD Anderson University of Texas: Low menyerahkan AS$50 juta (RM214.9 juta) kepada pusat tersebut selepas mengalami “kebimbangan kanser”. Pusat itu bagaimanapun memberitahu New York Post mereka hanya menerima “sebahagian” daripada peruntukan berkenaan.
  • Yayasan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu: Ahli perniagaan itu didakwa menyerahkan AS$25 juta (RM107.5 juta) kepada pertubuhan berkenaan. Kemudian New York Post diberitahu mereka hanya menerima AS$3 juta (RM12.9 juta).
  • Tabung Pristine Seas National Geographic: Berdasarkan laman sesawangnya ia masih berada dalam senarai rakan Yayasan Jynwel milik Low. National Geographic juga menjadi satu daripada penerbit dokumentari DiCaprio, Before The Flood.
  • Tabung Motion Picture Television: Low berjanji menyumbang sekurang-kurangnya AS$20,000 (RM859,600) setahun kepada tabung ini.

Low turut didakwa menderma kepada hospital kanak-kanak AS, Children’s National Hospital, Earth To Paris, Global Daily, IRIN News, dan Mashable Social Good Summit.

Saman sivil terbaru dikemukakan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS pada Jun lalu meletakkan nilai dana yang didakwa diselewengkan sebanyak AS$4.5 bilion (RM19.3 bilion).

DOJ kini sedang cuba merampas pelbagai aset bernilai AS$1.7 bilion (RM7.3 bilion) yang didakwa diperoleh melalui penyelewengan dana 1MDB.

DOJ turut menuduh Low dan rakannya Eric Tan membelanjakan AS$200 juta (RM859.6 juta) untuk membeli barang kemas.

Kata agensi penguat kuasa AS itu, Low saja membelanjakan sekurang-kurangnya AS$9.9 juta (RM42.6 juta) untuk membelikan barangan kepas kepada Miranda dan ibunya.

– M’kini

.