MCA tak akan lepaskan kerusi tradisi Bandar Tun Razak

MCA tidak mempunyai niat untuk melepaskan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur, yang menjadi kerusi tradisinya yang kini diintai oleh Umno, kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong hari ini.

Wee berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyokong usul Umno Bahagian Bandar Tun Razak yang mahu calon parti itu dan bukannya dari MCA untuk bertanding di kerusi itu pada pilihan raya umum akan datang.

Kerusi itu kini dipegang oleh ahli parlimen Bebas, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang sebelum ini mewakili PKR dan juga adalah bekas menteri besar Selangor.

Khairy, pada perasmian mesyuarat Umno Bahagian Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur semalam berkata, BN bukan saja perlu mengatur strategik menampilkan calon boleh menang semata-mata, tetapi turut membabitkan parti yang boleh menang.

“BN kena kaji dan mana kita (Umno) boleh ambil, kita ambil. Perlu ada perjanjian baharu kerana hari ini kita berada dalam persekitaran berbeza.

“Sekiranya rakan-rakan kita (parti komponen BN lain) pegang kepada semangat setiakawan, kita akan dapat keputusan lebih baik (pada PRU-14),” katanya.

Walau bagaimanapun, Wee berkata, sebarang pertukaran kerusi perlu melalui perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Jika tidak, katanya, ini adalah hanya tuntutan “akar umbi”.

“Bagi MCA, kami tidak mempunyai sebarang niat untuk menukar kerusi ini… Selama ini, MCA telah bertanding kerusi Bandar Tun Razak. Kerusi ini milik kita.

“Mana-mana pertukaran kerusi, atau sebarang pertukaran antara negeri, bukan untuk dibincangkan secara terbuka di peringkat ini. Ia perlu dibawa kepada PM dan ketua parti (MCA).

“Mana-mana pertukaran kerusi perlu mendapatkan persetujuan daripada pemimpin BN dan MCA, jika tidak, mereka hanya desakan akar umbi,” kata Wee kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Pilihan raya umum ke-13 menyaksikan pertandingan empat penjuru bagi kerusi Bandar Tun Razak, yang membabitkan Khalid, Tan Kok Eng dari MCA dan dua calon Bebas.

Khalid memperolehi 56.4 peratus undi dan menewaskan Tan dengan majoriti 11,832 undi.

Sebelum PKR merampas kerusi itu pada pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008, wakil MCA, Tan Chai Ho adalah ahli parlimen Bandar Tun Razak, sejak 1995.

Pada PRU13, Umno bertanding di tiga kerusi parlimen tradisional MCA, iaitu Gelang Patah, Kuantan dan Wangsa Maju tetapi tewas semuanya.

Liow berkata Umno telah bersetuju untuk memulangkan Gelang Patah dan Wangsa Maju kepada MCA. – M’kini