MCA SELAR TAJUDDIN HINA TERESA

MCA mengutuk sekeras-kerasnya sikap yang ditunjukkan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman kerana menghina Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam sidang Parlimen, kelmarin.

Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak bersikap kebudak-budakan dengan mempermainkan kata-kata jelas mengguris perasaan ramai orang terutama sekali wanita dan bangsa Cina di Malaysia.

Mei Fun berkata, tugas ahli parlimen di Dewan Rakyat sepatutnya membahaskan dasar kerajaan dan isu negara yang memberi kesan terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial rakyat, bukannya menyalahgunakan kuasa yang ada pada seseorang ahli parlimen.

“Meskipun kami berbeza fahaman politik, MCA tetap tidak bertolak-ansur dengan apa juga bentuk kekasaran dibuat ahli parlimen lelaki, apatah lagi daripada seorang timbalan menteri terhadap nama wanita Malaysia berbangsa Cina, dan dikiaskan dengan alat sulit lelaki,” kata beliau seperti dilaporkan dalam Sin Chew Jit Poh.

Mei Fun yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi kenyataannya menyelar Tajuddin kerana menyalahgunakan imunitinya dengan menghina nama keluarga ahli Parlimen Seputeh itu.

“Tingkah laku tidak sopan Tajuddin ialah cerminan fikirannya rosak. Tidak sepatutnya tindakan itu dilakukan seorang timbalan menteri. Saya mendesak Tajuddin mohon maaf terhadap semua orang Cina di Malaysia dan wanita,” katanya.

Trump adalah pilihan rakyat AS

Pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) baharu, bukanlah satu kebetulan sebaliknya beliau adalah pilihan yang diinginkan rakyat negara itu.

Demikian dinyatakan oleh Pengasas Kumpulan Alibaba, Jack Ma Yun seperti dilaporkan oleh Xindau Daily, sebuah akhbar harian dari China.

Kenyataan Jack Ma itu sudah semestinya memberikan suntikan semangat dan keyakinan baharu kepada pelabur di peringkat antarabangsa, memandangkan taikun China ini mempunyai pengaruh yang luas dalam ekonomi dunia.

Sehari selepas Trump menjadi presiden, seluruh dunia gempar sehingga pasaran saham dan nilai mata wang menjunam dengan ketara, dan tidak ketinggalan ramai rakyat AS menyatakan hasrat untuk berhijrah ke Canada kerana tidak yakin dengan kepimpinan jutawan dan bekas tokoh korporat itu.

Jack Ma turut meyakinkan dunia bahawa agak sukar memastikan Trump boleh menjadi presiden terbaik dalam sejarah AS, namun beliau yakin Trump tidak akan menjadi presiden yang teruk.

“Ramai orang bimbang dengan pemilihan Trump sebagai presiden baharu, hubungan antara China dengan AS akan terjejas, manakala seluruh dunia turut terkesan. Namun bagi saya, tidak akan berlaku sebarang perubahan yang besar dalam tempoh terdekat ini,” kata Jack Ma.

Tun M hadir kerana kepentingan parti

Kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke perhimpunan Bersih 5, Sabtu lalu adalah semata-mata untuk kepentingan partinya dan bukan untuk memenuhi tuntutan kumpulan baju kuning itu.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong membidas kumpulan Bersih sebenarnya sudah hilang hala tuju mereka, sebaliknya telah bertukar menjadi sebuah gerakan untuk parti-parti politik membidas kerajaan.

“Perhimpunan Bersih 5 jauh berbeza dengan beberapa perhimpunan yang lalu. Dulu, mereka menuntut pilihan raya yang bersih, senarai pengundi yang telus tetapi kini apa yang mereka tuntut ialah menukar kerajaan baharu,” kata Ka Siong seperti dipetik dalam Oriental Daily.

Kata Ka Siong yang juga timbalan presiden MCA, Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu sengaja memilih himpunan Bersih sebagai pentas untuk mengangkat populariti partinya.

Selain hadir pada himpunan Bersih 5, Mahathir bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali turut tidak ketinggalan memberi sokongan moral di Dataran Merdeka, semalam, kepada Pengerusi Bersih 5, Maria Chin Abdullah yang sedang ditahan di bawah Sosma.

SINAR HARIAN

.