MCA SEDIA TUNTUT LEBIH BANYAK JAWATAN

MCA sedia menuntut lebih banyak jawatan seperti timbalan menteri dan ahli majlis perbandaran sekiranya mampu memenangi lebih banyak kerusi parlimen pada PRU akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beliau berjanji akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat tuntutan itu dengan syarat, MCA mampu memenangi hati pengundi Cina dalam PRU14 serta memenangi lebih banyak kerusi parlimen.

“Saya harap pengundi Cina lebih-lebih lagi di kawasan bandar boleh menyokong wakil rakyat yang boleh memberikan pembangunan kepada mereka,” kata Tiong Lai seperti yang disiarkan dalam Oriental Daily.

Beliau berkata, sejak dulu lagi, kawasan parlimen di Kuala Lumpur adalah kawasan hitam oleh parti pemerintah.

“Keadaan seperti ini perlu diubah segera. Ini adalah kerana sekiranya pembangkang semakin kuat dalam kawasan mereka, maka peluang untuk projek pembangunan akan makin berkurangan,” katanya.

Menurut Tiong Lai, selepas mengalami kekalahan dalam dua kali PRU lalu, MCA melakukan kajian dan perubahan yang besar dengan berjanji akan terus bekerja dengan lebih gigih untuk kepentingan kaum Cina.

– Sundaily

.