MCA: ‘PULIHKAN’ ZAMIHAN SEBELUM DIA PULIHKAN MILITAN

Mengizinkan tindak-tanduk Zamihan Mat Zin mungkin menjejaskan pendirian kerajaan persekutuan, kata seorang pemimpin MCA hari ini.

Ketua Biro Keharmonian Agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker justeru berkata parti itu menggesa kerajaan tidak membela Zamihan sebagai tokoh yang membantu “memulihkan pelampau” di negara ini.

“Kami menggesa kerajaan tidak membenarkan tindakan dan membela Zamihan sebagai orang yang dapat membantu militan kerana ini hanya akan menyebabkan orang ramai membenci kerajaan,” kata Ti dalam satu kenyataan hari ini.

Zamihan ialah presiden Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) yang lantang mengkritik mana-mana pihak yang dirasakan tidak sehaluan dengan pendiriannya.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad adalah antara tokoh yang menjadi sasaran kritikan Zamihan.

Bagaimanapun pada 9 Nov lalu Bernama melaporkan kerajaan masih memerlukan kepakaran Zamihan bagi mengendalikan program pemulihan militan Daesh.

Faham makna berbilang bangsa

Kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi walaupun Zamihan kini tidak dibenarkan memberi ceramah di Selangor, namun kepakaran pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dalam bidang pemulihan akidah militan masih boleh digunakan.

“Dalam perkara ini Zamihan ialah salah seorang pakar pemulihan dan mengikut rekod, kejayaan pemulihan akidah yang dilaksanakan Zamihan cukup berjaya,” katanya.

Pensyarah Universiti Islam Malaysia (UIA) Dr Maszlee Malik kemudian mencadangkan agar pakar bebas dilantik untuk menilai kepakaran Zamihan bagi membuktikan dia memang memiliki kemampuan menjalankan tugas penting itu.

“Jika benar tokoh yang selalu mengeluarkan kenyataan kebencian dan perkauman adalah aset kepada usaha Kementerian Dalam Negeri mengangani pengganas, ia patut dinilai oleh pakar lain atau pihak ketiga seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), atau penyelidik yang membuat kajian tentang perkara itu.

“Rakyat juga ingin melihat laporan daripada sesi (pemulihan) yang dijalankannya, dan sebarang contoh berkaitan mereka yang berjaya dipulihkan Zamihan,” katanya kepada Malaysiakini.

Kata Ti Putrajaya tidak boleh melindungi Zamihan kerana pembangkang mengambil kesempatan atas keadaan itu dengan mendakwa penceramah terbabit dipayungi “godfather.

“Dia mesti tidak dilindungi. Apa yang salah, tetap salah dan kita tak boleh mengabsahkannya hanya kerana dia seorang pakar memulihkan militan,” katanya.

Menurut Ti sebelum dibenarkan terus berkhidmat memulihkan militan di negara ini Zamihan perlulah terlebih dulu “dipulihkan”.

“Dikatakan kepakarannya ialah membantu memulihkan militan tapi saya rasa kita perlu menggunakan khidmat orang lain yang tiada prejudis kepada agama atau bangsa lain. Seseorang yang memahami maksud hidup dalam negara pelbagai bangsa,” katanya.

Ketika ini kata Ti tingkah laku Zamihan tidak menunjukkan dia seorang yang mampu memulihkan militan kerana tidak menunjukkan rasa hormat kepada raja-raja Melayu.

– M’kini

.