MCA: Mesyuarat khas bincang impak persempadanan

PASIR GUDANG – MCA akan mengadakan mesyuarat khas minggu depan untuk mengkaji secara mendalam impak berhubung kajian persempadanan semula kawasan oleh SPR terhadap parti itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, segala pandangan hasil mesyuarat khas yang bakal diadakan itu akan diserahkan kepada SPR mengikut saluran yang betul.

Katanya, tinjauan dan pandangan akar umbi akan dilihat secara mendalam memandangkan sebelum ini segala persediaan struktur organisasi dan kawasan pilihan raya berpandukan kepada sedia ada.

“Saya difahamkan, lebih 80 peratus kerusi ditandingi calon MCA terlibat dengan perubahan kajian itu.

“Kita akan memanggil mesyuarat khas minggu depan bagi membincangkan secara terperinci kesan kajian persempadanan semula itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung MCA Bahagian Pasir Gudang, di sini, semalam.

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad yang juga Ketua Umno Bahagian Pontian yang ingin menuntut kerusi Dun Pulai Sebatang daripada MCA kepada Umno, Ka Siong berkata, sebarang pertambahan atau pertukaran daripada apa diperuntukkan pada PRU lalu seharusnya berpandukan kepada rundingan Presiden MCA dengan Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, apa yang penting penyandang jawatan bagi kerusi yang menang diamanahkan menjalankan kerja kepada semua pengundi dengan cemerlang.
– Sinar Harian

.