‘MCA MAHU JADI TPM: INILAH MAINAN POLITIK JAHAT DR M’

MCA hari ini menyifatkan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa MCA pernah memohon jawatan timbalan perdana menteri adalah mainan politik bekas perdana menteri itu dalam mencuba meraihkan sokongan pada pembangkang.

Menurut Pengerusi Biro Keharmonian Agama, MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, sebenarnya partinya menyampaikan hasrat masyarakat Cina itu bertujuan ke arah penyelesaian masalah masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam di negara ini.

“Ia sekadar proses penyaluran hasrat penyokong dalam amalan demokrasi yang sihat.

“Tun (Dr) Mahathir menyatakannya seakan-akan ia satu taboo semata-mata ingin provokasi sentimen dan emosi masyarakat Melayu seakan-akan MCA melakukan sesuatu yang salah dan DAP lebih mesra dan akur pada senstiviti orang Melayu.

“Tun (Dr) Mahathir banyak salah fakta. (Datuk) Loke Yuen Yow bukan timbalan menteri pada masa itu.

“Tiada salah atau kesalahan sesuatu parti menyampaikan hasrat penyokong dan rakyat pada masa-masa tertentu. Apabila keputusan dibuat, yang penting kita berpegang pada disiplin dan tatasusila parti demi kewujudan harmoni,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Mahathir berkata, MCA yang memohon jawatan timbalan perdana menteri selepas pada mulanya mendakwa DAP yang membuat permintaan itu.

“Saya dilaporkan berkata DAP telah meminta untuk dilantik jawatan timbalan perdana menteri kedua.

“Saya ingin perbetulkan kesilapan. Bukan DAP tetapi adalah MCA,” jelas beliau dalam blog.

Kata Mahathir, permintaan itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Agung MCA Datuk Loke Yuen Yow yang juga timbalan menteri di jabatan perdana menteri pada tahun 2009.
Mahathir turut melampirkan laporan di laman web Jabatan Penerangan Malaysia yang telah mengenengahkan permintaan Loke kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

Mengulas lanjut, Ti berkata, proses lalu dan lampau adalah laluan sejarah semata-mata.

“Kita tidak perlu mencungkil atau melontar pertukaran pendapat atau komunikasi lampau dalam konteks dan lingkungan parti kepada umum semata-mata dengan niat politik yang jahat.

“Inilah politik jahat Tun M dalam mencuba mengeruhkan politik semasa untuk memancing undi,” tambah beliau.

– M’kini

.