MCA ‘KHIANAT’ BILA DESAK KERAJAAN IKTIRAF UEC

KUALA LUMPUR – Desakan MCA untuk kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersekutu (UEC) dianggap sebagai hilang fokus dan mengkhianati masa depan negara.

Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Sirajuddin Salleh mempersoalkan tindakan MCA tersebut seolah-olah seperti ‘musuh dalam selimut’.

“Sepatutnya MCA sebagai orang kerajaan, dokonglah dasar kementerian, ini sudah jadi musuh dalam selimut. Keliru betul nampaknya.

“Kurikulum dan peperiksaan nya berkiblatkan negara Taiwan dan Hong Kong, tidak langsung mencerminkan budaya dan jati diri Malaysia.

“Hasilnya lulusan UEC adalah buta sejarah, buta sosial dan buta budaya Malaysia. Di mana letaknya definisi perpaduan dan muhibah yang dilaungkan oleh kerajaan jika UEC ini di ikhtiraf,” soalnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Wira Perkasa Malaysia mendesak kerajaan supaya tidak memberikan pengiktirafan kepada UEC.

Ketua Wira Perkasa, Burhanuddin Ruslan berkata, sijil tersebut tidak berada dalam sistem pendidikan negara dan silibus pembelajaran mereka tidak mencerminkan nasionalisme tetapi lebih berkiblatkan negara Taiwan dan China.

Sirajuddin yang juga merupakan Pengerusi Biro Pendidikan Perkasa juga menekankan sekeras-kerasnya penolakan parti itu jika ada hasrat dan cadangan kerajaan untuk mengiktiraf UEC.

“Perkasa sebagai mewakili masyarakat Melayu ,ingin mengingatkan MCA bahawa beberapa kerusi yang dimenangi pada PRU 13 adalah atas sokongan pengundi Melayu, jangan sampai kita meminta pengundi pengundi Melayu tidak mengundi MCA pada PRU 14 akan datang.

“Oleh itu kita mahu supaya kerajaan tegas menolak UEC selama lamanya dan bangunkanlah sistem pendidikan satu aliran demi perpaduan nasional dan kesetabilan negara tercinta ini,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa pihak mereka tidak mempolitikkan isu ini.

“Ini bukan soal politik dan Perkasa tidak mempolitikkan perkara ini tetapi soal perpaduan nasional dan  mengelakkan kehancuran negara pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

– www.sinarharian.

.