MCA INGIN MENANG BANYAK KERUSI

MCA memerlukan kerjasama daripada parti-parti komponen lain dalam BN untuk memenangi lebih banyak kerusi dalam PRU akan datang.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan, usaha untuk mencapai kejayaan tidak boleh mengharapkan kepada MCA semata-mata, tetapi sokongan penting juga diperlukan daripada parti-parti komponen BN.

“Sebab itu pemimpin BN perlu berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan agar tidak melukakan perasaan rakan-rakan lain dalam BN.

“BN adalah sebuah keluarga besar, setiap kenyataan dikeluarkan seorang pemimpin secara langsung akan membabitkan parti-parti lain dalam BN,” kata Ka Siong seperti dipetik dalam Nanyang Siang Pau.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang menggesa parti komponen BN bekerja keras meraih sokongan pengundi bagi membuktikan mereka layak kekal bertanding di satu-satu kawasan terutama bagi yang kalah pada PRU lalu.

Menurut Ahmad Zahid, Umno sudah banyak berkorban dengan memberi peluang kepada calon parti komponen untuk bertanding di kawasan tertentu, sekalipun majoriti pengundinya Melayu, atas dasar perkongsian kuasa.

“Contohnya dalam (kawasan) Parlimen Alor Setar dan Dun Kota Darulaman, kita kongsi kuasa dengan MCA…walaupun kita tahu lebih 80 peratus pengundi di kawasan Parlimen Alor Setar itu Melayu, tapi untuk menghormati parti komponen kita bagi kerusi itu pada MCA dan parti lain,” kata Ahmad Zahid.

Mengulas lebih lanjut, Ka Siong berkata, MCA sendiri berhasrat memenangi lebih banyak kerusi parlimen dan berharap parti komponen BN jangan berkempen untuk parti pembangkang.

“Ketika menghadapi apa jua isu, BN biasanya akan berunding dan menyelesaikan masalah bersama. Selain itu, BN juga sentiasa menjaga perasaan semua kaum di negara kita kerana BN adalah milik semua rakyat jelata,” katanya.

– SH

.