MCA CADANG KETUA PEMUDA JADI SUKARELAWAN BANJIR, TEBUS KESALAHAN

Setiausaha agung MCA Ong Ka Chuan mencadangkan Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon menjadi sukarelawan membantu mangsa banjir di Pulai Pinang sebagai menebus kesilapannya berkenaan jenaka ‘tokong’.

Menurut suratkhabar harian berbahasa Cina Kwong Wah Yit Poh, Ong berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada parti MCA akan mengambil tindakan disiplin terhadap Chong yang berjenaka “tokong usah lawan Tuhan”.

Ong berkata, ucapan itu tidak sepatutnya diucapkan namun ia tidak berniat mengguris hati sesiapa.

“Saya fikir dengan membenarkannya menyertai usaha membantu mangsa banjir merupakan tindakan yang lebih praktikal untuk dikenakan terhadapnya.

“Dia masih muda dan cepat panas. Semoga orang ramai boleh faham dan tak ambil hati,” kata Ong mengenai Chong.

Berucap di perhimpunan agung tahunan MCA ke-64 semalam, Chong berkata Lim usah lawan Tuhan meskipun berkuasa di dalam kerajaan seperti tokong.

“(Di sebalik) kerajaan macam tokong, dia tidaklah berkuasa seperti yang didakwanya untuk mengatasi masalah banjir.

“Jangan lawan tuhan walaupun kamu seorang tokong,” katanya.

Chong kemudian memohon maaf kerana mengguris hati penduduk Pulau Pinang.

MCA telah menghantar skuad bantuannya bagi membantu mangsa banjir negeri itu.

Pulau Pinang menyaksikan hujan lebat dan angin kencang yang paling buruk dalam sejarah pada 4 dan 5 Nov menyebabkan banjir di kebanyakan kawasan. Sebahagian kawasan di Kedah turut terjejas.

– M’kini

.