MCA AMAL POLITIK ‘KEPALA HARIMAU, EKOR ULAR’ – TERESA

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok menyelar MCA dengan mendakwa parti itu mungkin tahu Rang Undang-undang (RUU) ahli persendirian oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dibentangkan.

Kok berkata demikian sebagai menjawab serangan berterusan MCA ke atas DAP mengenai pembentangan RUU itu di Parlimen yang akan membolehkan PAS Kelantan melaksanakan undang-undang hudud.

“Selepas MCA gagal menghalang Abdul Hadi daripada membentangkan RUU ahli persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, Timbalan Presiden MCA (Datuk Seri Dr) Wee Ka Siong membuat pelbagai serangan ke atas DAP dalam usaha mengalihkan perhatian orang ramai.

“Bagaimanapun, semua serangannya tidak bertanggungjawab dan semata-mata dakwaan yang tidak berasas,” kata Kok dalam kenyataan, hari ini.

“Serangan berpanjangan oleh Wee ke atas pada DAP tidak dapat sembunyikan hakikat MCA gagal dalam mencegah pembentangan RUU 355, sama ada terdapat atau tidak kesepakatan BN untuk membenarkannya.

“Malah, terdapat tanda-tanda jelas terdapat konsensus BN untuk membolehkan RUU 355 dibentangkan.
“Tanda paling jelas adalah MCA tidak membantah pembentangan itu. Jika tidak ada konsensus BN pada pembentangan RUU, ahli Parlimen MCA sepatutnya keluar sebagai tanda bantahan keras, tetapi semua ahli Parlimen MCA berdiam diri.

“MCA sekali lagi memaparkan sifat politiknya ‘kepala harimau dan ekor ular’ dengan akan sentiasa berkompromi kepentingan dan hak rakyat hanya untuk kekal dalam BN,” kata Kok.

– M’kini