MBPP ANTI-CINA ATAU ANTI MELAYU, SINDIR DAP

Exco kerajaan negeri, Chow Kon Yeow menolak sentimen perkauman dalam tindakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meroboh tandas ‘haram’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.

Ujar Chow yang disebut-sebut bakal menggantikan Lim Guan Eng sebagai ketua menteri pulau mutiara itu, MBPP menjalankan tugasnya secara profesional dan tidak meletakkan sentimen kaum mengatasi undang-undang.

“MBPP tidak memandang warna kulit dan akan ambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang, tidak kira warna apa pun,” ujarnya dalam kemaskini laman sosial Facebooknya, memetik laporan Roketkini.

Keputusan itu diambil, menurut beliau, setelah pihak pengendali restoran Kaffa Kafe berdegil tidak mahu merobohkan sendiri binaan tanpa kelulusan itu meskipun diberi notis awal untuk berbuat demikian.

Chow yang merupakan ADUN Adun Padang Kota berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa pemimpin parti Gerakan yang cuba mensensasikan tindakan MBPP itu dengan memainkan sentimen perkauman.

Gerakan mendakwa kononnya kerajaan negeri yang ditadbir DAP itu hanya mengambil tindakan terhadap kaum Cina sahaja.

Justeru, Chow telah memuat naik gambar kerja-kerja meroboh struktur ubahsuai rumah milik pemimpin Umno Pulau Pinang Datuk Ahmad Ismail yang tidak mendapat kelulusan MBBP.

“Mungkin ini peluang Umno pula untuk mendakwa kononnya MBPP hanya berani untuk ambil tindakan terhadap orang Melayu. Ini hanya permainan politik perkauman BN.

“Malah, mungkin Pengerusi BN negeri, Datuk Teng Chang Yeow patut mengadakan mesyuarat untuk memutuskan sama ada MBPP anti-Cina atau anti-Melayu,” tambahnya sinis.

– M’kini

.