MB: T’GANU IKUT KELANTAN JIKA SEMUA SETUJU

Terengganu hanya akan mengikuti jejak langkah Kelantan menambah baik enakmen berkaitan jenayah syariahnya jika mendapat persetujuan  semua pihak, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Katanya ini termasuk parti komponen Barisan Nasional yang mewakili kaum dan agama lain.

“Kerajaan Terengganu pada dasarnya menyokong RUU (rang undang-undang) itu tapi apa-apapun kita perlu mendapat pandangan daripada parti-parti komponen yang lain seperti MCA, MIC dan Gerakan sebelum ia dilaksanakan.

“Kita kena ambil tahu keperluan mereka, pandangan dan kebimbangan mereka jika undang-undang itu dilaksanakan. Tapi kita akan memberi penjelasan sebaiknya jika ingin melaksanakan undang-undang berkenaan,” katanya kepada pemberita di Majlis Hari Raya Badan Perhubungan Umno negeri di Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zuber Embong dan kepimpinan Umno negeri serta parti-parti komponen MCA dan MIC negeri.
Kelmarin Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan  RUU Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

RUU itu juga memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan,

– Bernama

– M’kini

.