MB PAHANG NAFI ADA MUSLIHAT HENDAK JUMPA ANWAR

APA yang ahli politik buat kalau kedua-dua mereka kebetulan berada di bangunan mahkamah pada suatu masa yang sama?

Bagi Menteri Besar Pahang Adnan Yakob, itu peluang untuk bertanya khabar walaupun tidak sehaluan perjuangan dengan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara.

Tetapi beliau tidak dapat berjumpa dengan Anwar kerana pemimpin PKR itu duduk di bilik yang lain di kompleks mahkamah Jalan Duta.

“Saya ada hal di mahkamah, dia pun ada hal di mahkamah, apa yang salahnya? Bukannya saya hendak tukar parti (politik),” katanya selepas tidak dapat bertemu dengan Anwar.

Adnan sedang berjalan menuju ke lif apabila tiba-tiba berhenti dan masuk ke bilik saksi yang dikawal oleh pegawai Jabatan Penjara. Beliau kemudian diberitahu Anwar berada di bilik yang lain.

Pemimpin Umno itu kemudiannya menukar fikiran dan meninggalkan bangunan mahkamah.

Adnan hadir di mahkamah untuk kes saman fitnahnya terhadap akhbar Utusan Malaysia. Kedua-dua pihak setuju untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.

Anwar pula berada di bangunan yang sama untuk saman fitnahnya terhadap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Anwar pernah menganggotai Umno dan mendaki tangga kerjaya politik dengan pantas sehingga jadi timbalan presiden parti dan timbalan perdana menteri pada 1993 semasa Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri.

Pada 1998, beliau dipecat daripada kerajaan dan parti dan masuk penjara selepas didakwa mahkamah atas tuduhan penyelewengan kuasa dan liwat. – 7 Ogos, 2017.

Dr Mahathir dan Anwar kini kembali bergabung tenaga di pentas yang lain di bawah bendera Pakatan Harapan, sebuah gabungan pembangkang yang akan menyertai pilihan raya umum akan datang untuk menumbangkan kerajaan dan perdan menteri Najib Razak.

– https://www.themalaysianinsight.com

.